Monday, December 27, 2010

Laksa Utara

Laksa utara dimakan sebagai lunch dan merangkap dinner sekali semalam sebab pulang lewat ke rumah. Kuah laksa yang buat pada malam ahad dan rendam laksa semalaman, pagi isnin tu kukus laksa sebelum bawa ke pejabat. kalau tengok dalam mangkuk laksa saya tu, tak banyak ulam-ulaman sebab terlupa.....terlupa timun, potong bunga kantan lagipun kan saya nie tak suka banyak benda yang menserabut kat atas laksa saya.


Resepi simple mak saya.....mak saya nie orangnya jenis sempoi. Sempoi gila-gila sampaikan kadang2 saya risau dengan dia. Masa nak letak wang hantaran adik saya, dia boleh kata 'ikut kemampuan pihak lelaki' pada rombongan lelaki. Saya cakap kat dia "kalau diaorang hantar RM2 ribu, cam mana nak buat kenduri...janganlah macam tu", dia boleh jawap "tak pelah, kita buat kenduri makan bihun". Hal-hal masak pun dia sempoi.....bubuh apa yang ada je, dia jenis tak ikut resepi.



Ok inilah resepi mak saya, dia buat macam nie dan laksa dia nie memang hidangan wajib bila hari raya. Cucu-cucu dan menantu dia memang akan makan berpinggan-pinggan wp bahan hiasan dia tak semeriah orang lain. Kadang-kadang hanya telur rebus, limau dengan cili potong sahaja, macam dalam mangkuk anak dia jugak.....pengaruh mak.


Laksa Utara


resepi dan publish by resepidaria.blogspot.com



Bahan-bahannya:-


  • 1/2 kg ikan sardin/kembung/selayang (saya guna ikan sardin segar)
  • 4-6 biji cili kering, direbus dan dimesin
  • 1/2 labu bawang besar-dimesin
  • 6 ulas bawang merah-dimesin
  • 4 ulas asam keping (masukkan 4 dulu lepas tu tambah jika perlu)
  • 1 batang bunga kantan
  • segengam daun kesum
  • 1/2 bungkus laksa
  • 200gm udang segar
  • garam secukupnya
  • 1 1/2 - 2 liter air

Bahan hiasan

  • Ulam-ulam kegemaran anda seperti pucuk gajus
  • telur rebus
  • sebiji timun, dihiris halus
  • bawang besar-dihiris halus
  • bunga kantan-dihiris halus
  • cili padi - dihiris halus
  • nenas-dihiris nipis (jika suka)
  • limau

Cara-caranya:-

Laksa

  1. Rendam laksa terlebih dahulu supaya ia sedikit lembut dan kemudian baru kukuskan selama 30 minit. Angkat dan masukkan kedalam bekas yang berisi air dan biarkan ia terus kembang. Bila nak makan baru masukkan dalam penapis dan tapis sehingga kering air.

Kuah:-

  1. Bersihkan ikan dan udang. hanya buang isi perut ikan sahaja dan basuh bersih. Bersihkan udang dan pisahkan antara isi dan kulit serta kepala udang. Isi udang masukkan kedalam bekas lain dan ketepikan
  2. Rebus ikan dengan 800ml air dalam 20-30 minit bersama-sama dengan 2 keping asam keping. Keluarkan ikan dari periuk tapi air rebusan tu jangan dibuang. Pisahkan isi ikan dengan tulang dan kepala ikan. Pastikan isi ikan itu tiada tulang yang kecil-kecil tu. Masukkan isi ikan dalam bekas yang lain.
  3. Masukkan air rebusan, tulang ikan, kepala ikan, kulit udang serta kepala udang kedalam blender dan blender sehingga lumat. Tapis ambil pati yang pekat. Pastikan anda tapis elok2. Bersihkan blender anda.
  4. Blender pula cili, bawang dan isi udang sehingga lumat.
  5. Masukkan cili yang diblender dan pati tulang ikan dalam periuk. Masukkan air selebihnya dan asam keping. Masak dengan api yang sederhana perlahan sehingga ia mendidih.
  6. Lenyek2 isi ikan anda dengan belakang sudu. Masukkan kedalam periuk.
  7. Masukkan bunga kantan dan daun kesum.
  8. Biarkan ia sehingga betul-betul masak dan berasa asam. Masukkan garam dan tambah asam keping lagi jika anda rasa perlu.
  9. Angkat dan boleh dihidangkan bersama laksa dan bahan hiasan yang lain.

Nota:-

  1. Tentu anda tertanya-tanya, apa fungsinya udang. Macam mana dia buat laksa bubuh udang?. Family kami tak guna bahan perasa seperti ajinomoto atau yang lain-lain dalam masakan. Tak pernah ada didalam dapur kami. So itulah fungsinya udang disini iaitu sebagai bahan pemanis dalam kuah laksa. Supaya kuah laksa lebih manis. Udang adalah rahsia mengapa kuah laksa mak saya sedap. So saya dah bocor rahsia dia hahahah.
  2. Anda boleh tambah belacan jika suka.
  3. Rahsia utama untuk laksa sedap adalah asam dan kuah haruslah dimasak dengan api sederhana dan biar mereneh lama. kuah laksa nie kalau lagi lama lagi sedap sebab asam keping tu dah betul2 sebati dengan kuah. Oleh itu sentiasa rasa kuah anda dan jika terasa kurang asam, tambah lagi jangan ikut sangat kuantiti kat atas tu. Ikut lidah anda.
  4. Laksa pula jangan patah-patahkan. Biar ia panjang sebab itu yang buat laksa lagi kick.
  5. Bahan tambahan untuk dimakan dengan laksa tu ikut suka selera anda lah. selalunya kalau keluarga kami timun, cili, telur rebus (jangan rebus lama cukup 10 minit sahaja) dan limau dah cukup.
  6. Kalori semangkuk laksa yang berukuran 16.5cm adalah 376 kalori. So ia amat-amat sesuai sangat untuk orang diet ye tapi dalam semangkuk tu aje ye jangan nak menambah pulak.
  7. Ikan sardin segar (bukan yg dalam tin tu) adalah sejenis oily fish maka ia amat bagus untuk otak. Jadi sangat2 elok dimakan selalu terutama untuk anak-anak kecuali wanita hamil kurangkan hanya kepada 2 kali seminggu sahaja.
  8. Sempoikan resepinya so janganlah tanya mengapa tak bubuh lengkuas, bawang putih, halia atau apa-apa sahaja sbb nie resepi laksa utara sebetulnya. Jika anda hendak bubuh dan ia sedap di lidah anda, silakan sebab dalam resepi tak ada salah atau betul asalkan ia jadi sedap. Kita buat dia bukan dia buat kita.

Oh ya saya nak tunjukkan satu gadget yang saya beli baru-baru nie. oleh kerana saya selalu bawa bekal lunch ke pejabat sebab saya masak ikut menu diet. Saya akan panaskan dalam microwave. Untuk elakkan makanan dipanaskan direct dalam microwave yang mana kita tahu bahayanya sinaran tu dan penyebab kanser maka saya guna periuk nie untuk memanaskan makanan saya. Ia berfungsi seperti periuk yang dimasak diatas api malah ia boleh digunakan untuk memasak dalam microwave. Empress microwave cooker dari Cosway nie boleh digunakan untuk steam sayur, pau, grilled salmon, steak, boleh buat stew daging, buat sup malah saya pernah buat mee bandung mengunakan periuk nie di ofis.



Kuah laksa saya masak semula dalam periuk nie dalam masa 10 minit. memang panas mengelegak bila tudung periuk dibuka. So saya tak adalah makan makanan sejuk wp bawak bekal.

1 comment:

Hann said...

Salam.

Saya juga orang utara dan dok utara. Cumanya tak berapa rajin nak masak laksa nih. Tapi tetiba suka resipi nih sebab simple. Kalau yang ni, boleh lah try nanti. Thanks for sharing. :)