Wednesday, April 7, 2010

Tepung Bungkus





Masa singgah kat Pasar Malam SS8 Kelana Jaya, seperti biasa saya akan pergi ke gerai sayur-sayur kampung untuk beli betik. Geram betul tengok sayur2 kampung yang segar2 dijual kat gerai tu. Niat asal hanya nak beli betik saja terus tambah satu item lagi bila tengok daun pisang yang nampak macam baru dipotong. Saya beli seikat daun pisang. Balik rumah baru decide nak buat apa.

Tepung bungkus memang kuih kegemaran saya. Emak saya hanya buat kuih nie masa meniaga kat pasar ramadhan saja. Saya cuba mengunakan resepi lapisan bawah kuih talam keladi untuk buat tepung bungkus. Yes.....ternyata resepi nie sangat sedap....i love it. sama macam tepung bungkus yang mak saya buat. Terasa lemak masin tepung bungkus dan manis inti kelapa. Inilah resepi tepung bungkus yang saya buat. Anda boleh bahagikan 1/2 adunan jika terlalu banyak.

TEPUNG BUNGKUS
(anggaran dalam 20 biji)

Langkah 1
Bahan A (inti kelapa gula melaka)

1/2 biji kelapa (kelapa yg saya gunakan agak besar)
2 1/2 ketul gula melaka
1 sudu makan gula (lebihkan/kurangkan berdasarkan citarasa anda)
1 sudu makan tepung gandum
1 1/2 cawan air
sedikit garam

Cara memasak bahan A
  1. Potong gula merah menjadi ketulan kecil
  2. Masukkan kelapa, air dan gula melaka kedalam kuali/periuk.
  3. masak sehingga gula melaka sebati dengan kelapa. Rasa kemanisan inti anda dan tambah 1 sudu makan gula pasir lagi jika anda hendak sedikit manis dan masukkan sedikit garam.
  4. ketika inti hampir hendak kering (biar basah sikit), masukkan tepung gandum dan kacau rata.
  5. Tutup api dan sejukkan inti anda
  6. Tujuan tepung gandum dimasukkan dalam inti adalah supaya inti kelihatan lembab dan tidak terlalu kering. Inilah rahsia supaya inti kelapa sedap.
Langkah 2
Bahan B

200gm tepung pulut
150ml air (+/-)

Cara membancuh bahan B
  1. Masukkan tepung pulut dalam bekas.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan tepung boleh diuli. Uli sebentar.
  3. Sapukan sedikit minyak atas talam/bekas. Ambil bancuhan tepung pulut sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan inti kelapa. (terpulang kepada untuk buat sebesar mana. jika anda suka inti kelapa lebih, besarkan sedikit)
  4. Buat sampai habis dan ketepikan.
Langkah 3
Bahan C

2 pelepas daun pisang yang telah dilap, layur atas api sehingga rata. Kerat daun pisang sebesar 2 tapak tangan(agak2lah ye). Gunting sedikit bahagian atas dan bawah daun supaya kemas. Ketepikan.

Langkah 4
Bahan D

200gm tepung beras
20gm tepung ubi
1 1/2 tsp garam (ratakan)
300ml santan (saya guna santan kotak)
700ml air

Cara-cara memasak bahan D
  1. Bancuh semua bahan A sehingga rata dan sebati
  2. Tapis kedalam periuk. Guna api sederhana dan kacau dengan senduk sentiasa sehingga ia pekat dan hampir keras. jangan sanpai keras sangat.
CARA-CARA MEMBUNGKUS
  • Ambil daun pisang selebar 2 tapak tangan (telah digunting sedikit bahagian atas dan bawah).
  • Masukkan 1 bebola inti kelapa tadi kedalam adunan ini.
  • Tutup bebola inti ini dengan tepung dan pastikan inti dibaluti oleh adunan tepung.
  • Ceduk dengan sudu dan letakkan diatas daun pisang. Ulang proses untuk satu ketul inti lagi. Letakkan 2 ketul bebola inti sebelah bersebelahan. Sebab itu ada yang memanggil kuih ini Puteri 2 sebilik.
  • Buat sampai habis. Jika ada lebihan adunan tepung dan bebola inti sudah tiada, anda boleh terus letakkan inti kelapa diatasnya dan bungkus.

  • Panaskan periuk kukus dan kukuslah selama 25 minit.

  • Biarkan sejuk terlebih dahulu.

Yang ini saya hanya letakkan inti terus atas adunan tepung sebab bebola inti dah habis.

  • Hidangkan


2 comments:

Nieza said...

Tq berkongsi resepi ni saya dah cuba...sedap:)

bdaria said...

Salam Nieza,

Alhamdulillah menjadi.