Showing posts with label Kongsi Info. Show all posts
Showing posts with label Kongsi Info. Show all posts

Sunday, May 4, 2014

SMS sedut duit

Cyberjaya: Syarikat MexComm Sdn Bhd (MexComm) dijatuhi hukuman denda RM15,000 kerana kesalahan menghantar iklan SMS yang menyalahi Standard Mandatori untuk Perkhidmatan Kandungan Mudah Alih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hasil siasatan MCMC mendapati MexComm menyalahi perenggan 69 dan 71 Standard Mandatori kerana menghantar iklan SMS dengan menggunakan kod ringkas 62228 kepada seorang pelanggan Maxis. 
SMS berikut: “RM0.00 Perhatian!! Sms ON SITI ke 32339 skrg dan dpt gambar yg menarik!! Vid mp3.pdft PERCUMA jgn tunggu lagi! Type out to opt out. Mx1300223228” terbukti mengelirukan dan tidak mengandungi maklumat lengkap mengenai harga perkhidmatan langganan serta penyelia kandungan.

Siasatan lanjut turut mendapati, syarikat MexComm Sdn Bhd melanggar Syarat 2.2 Lesen Kelas ASP No: ASP/C/2005/3 yang mengkehendaki syarikat itu mematuhi segala peruntukan dikeluarkan oleh MCMC.-BERNAMA
================================================================
Berita nie keluar dalam surat khabar pada hari nie 4 mei 2014. Syarikat diatas juga yang kenakan saya tempoh hari. Syarikat yang terletak di Wisma MCA, tingkat 20 bersebelahan dengan bangunan Citi bank.


Hebat tak kereta Ferrari California yang berharga RM1,800,000 tu atau BMW sporty yang berharga RM360,000?. Anda tak merasa nak sentuh kereta-kereta nie kan tapi pengarah-pengarah syarikat content provider nie bertukar kereta setiap tahun (kereta diatas dimiliki oleh salah seorang pengarah sykt CP). Tersenarai sebagai jutawan muda dibawah umur 40 tahun. Bukak syarikat tak sampai 3 tahun dah boleh listed di Mesdaq...lepas tu beli hartanah yang berharga berjuta-juta ringgit. Kesemua mereka nie berumur diantara 36-39 tahun...adalah seorang orang tua dalam group nie tapi yang lain2 tu muda2 belaka. 

Semua duit tersebut diperolehi dari hasil merompak kredit anda semua penguna mobile.

Kalau mereka kutip kredit anda seorang RM48 sebulan daripada rakyat Malaysia....dalam masa yang singkat mereka dah boleh jadi jutawan. Bayar denda RM15,000 tak ada apa-apa makna bukan....setakat RM15,000 macam lempar kat anjing je duit tu. Lepas nie boleh kutip berjuta-juta lagi.
Tak tahulah sampai bila keadaan nie akan tamat. kalau anda baca forum-forum, daripada tahun 2006 lagi pengguna mobile mengadu kredit mereka dicuri sampai sekarang 2014...masih ada yang pengguna mobile jadi mangsa. Siapa agaknya nak tolong kita ye?.

Thursday, April 24, 2014

Berjaya mendapat pulangan kembali duit caj SMS Scam


Lanjutan daripada entri saya yang lepas, apakah tindakan anda selepas mendapati anda dicaj atas sms/mms yang anda tidak langgan?. Ini hasilnya

Saya telah menerima pembayaran atas caj SMS/MMS scam yang kenakan kedalam akaun DIGI saya oleh syarikat Content Provider yang saya tuntut. Saya tak cakap banyak dengan mereka, 7hb April saya pergi ke Tribunal Tuntutan Pengguna Shah Alam. 9hb April saya pergi ke syarikat CP buat serahan tangan....hanya serahkan borang tuntutan dan notis perbicaraan. saya bagitau pada tarikh 8hb May, sila pergi ke Mahkamah Tribunal untuk pendengaran kes.

Selepas tu saya terima panggilan telefon menyatakan syarikat setuju buat bayaran dan saya beritahu mereka bahawa apabila saya menerima bayaran kedalam akaun telefon saya barulah saya keluarkan surat pembatalan tuntutan. Hari nie 24hb April, saya terima call menyatakan bahawa bayaran telah dibuat dalam akaun Digi saya. Selepas terima resit dan semak dalam akaun Digi ada bayaran dimasukkan barulah saya buat surat pembatalan dan fax kepada TTPM.

Tak perlu nak bertekak atau bergaduh. hanya penatlah sikit sebab kena korbankan cuti separuh hari pergi ke pejabat TTPM dan pergi ke alamat CP. Mereka hanya bayar RM282, terkurang beberapa ringgit iaitu caj RM0.15 untuk sms STOP ALL. Pengajaran disini.....TELCO adalah satu-satunya pihak yang kaut keuntungan. Mereka menjadi provider yang membenarkan syarikat CP menembusi nombor-nombor mobile pelanggan mereka atas perjanjian 50:50 mungkin lebih atau kurang daripada kadar itu. Bila pengguna call, mereka suruh taip STOP ALL...mereka caj 15 sen. Mereka suruh pengguna minta kembali pulangan atau diskaun daripada CP. CP kena pulangkan duit. TELCO jugak yang untung....share 50% dapat, caj 15 sen dapat. Itu untuk saya sorang....anda...dan anda yang lain serta berjuta-juta pelanggan Telco. Uhhh....kaya tokey Telco.

Thursday, April 10, 2014

Apakah tindakan sepatutnya bila terima SMS/MMS Spam-Scam


Selepas menyedari saya terkena sms scam dan kehilangan sebanyak RM285 selepas menyemak kembali bil Digi untuk 5 bulan yang lepas....saya mula berminat untuk mengkaji tentang kes sms spam ini.

 Anda masih ingat kisah seorang pegawai bank Hock Hua Bank dalam tahun 1991, Aman Shah Bin Ahmad. beliau hanya mengambil 5 sen atau nilai sen terakhir untuk setiap baki akaun pelanggan pada setiap hari. Beliau berjaya mengumpul RM4.01 juta dan apabila didapati bersalah beliau dihukum 5 tahun penjara. Sekarang dah bebas kot. 

 Dizaman sekarang semua orang ada handphone, tak kira peringkat umur. Kalau rakyat Malaysia kini berjumlah 30 juta orang, diandaikan 10 juta adalah bayi dan kanak-kanak berumur bawah 9 tahun. 20 juta rakyat Malaysia mengunakan perkhidmatan telekomunikasi menerusi telco yang dipelopori oleh Maxis, Celcom, Digi dll. Bayangkan jika RM3 diambil dari setiap sorang tanpa disedari melalui sms spam ini?. Telco pulak kenakan caj 0.15 sen kepada anda kalau nak batalkan langganan yang anda langsung tak buat tu. Kalau sehari 3000 orang mengadu 3000 x 0.15 =RM450x30x12=162,000. Sekarang anda faham mengapa anda disuruh memberhentikan sendiri dengan taip STOP ALL.

 1juta orang x RM3 = RM3juta sehari 'dirompak' dari poket rakyat, bayangkan kalau setahun....beratus-ratus juta masuk poket syarikat Content Provider (CP) nie...oppppp dan juga syarikat Telco. 

 Bagi pelanggan prepaid, anda hanya akan sedari jika kredit anda berkurang (jika anda jenis yang beri perhatian). Bagi pelanggan postpaid, anda hanya akan sedar selepas sebulan kemudian apabila bil telefon anda tiba. Dah terlambat untuk anda...RM48 telah dicaj dalam akaun anda. Apa yang anda boleh lakukan, anda hubungi telco anda iaitu DIGI, Celcom atau Maxis. Apa yang mereka jawap "untuk memberhentikan langganan tersebut sila taip "STOP ALL" dan hantar ke nombor 3xxxx". Itu jawapan mereka....kalau anda tanya lebih lanjut barulah mereka beri nama Content provider untuk anda minta diskaun atas caj anda. 

Tahukah anda Telco (Maxis, Digi, Celcom)akan mengutip caj sms tersebut dan kemudian akan dibahagikan bersama Content Provider. Anda selalu tertanya-tanya bagaimana CP tahu tentang nombor telefon anda. Jika bukan dari telco anda siapa lagi. Menurut Presiden MMCP, telco mengambil 50% daripada caj-caj sms tersebut. Ini cakap beliau, betul atau tidak.....mereka sahaja yang tahu.

 Saya bagi contoh kepada anda...saya meniaga kek, setiap pagi saya letakkan kek di pintu pagar rumah anda. Cukup sebulan saya hantarkan bil kepada anda. Anda beritahu yang anda tak order pun kek tersebut...saya jawap "kalau anda tidak mahu langgan, anda kena tekan STOP All, barulah saya tidak hantar". Sekarang anda berhutang dengan saya. Anda marah...anda rasa dianiaya bukan. Hak anda sebagai penguna telah dicabuli.



Lihat SMS nie....apa bezanya dengan contoh saya diatas. Perbuatan yang tidak bermaruah.....jangan ingat bila anda tidak layan SMS spam ini anda akan selamat. Mereka dah bijak.

Apakah tindakan anda.

1. Tolonglah print scrin sms tersebut dan buat laporan kepada SKMM. Biarlah susah sikit asalkan dengan satu laporan/aduan kita...aduan tersebut akan diberi perhatian oleh Kerajaan. Bila terlalu banyak aduan yang diterima, lesen yang dikeluarkan oleh SKMM kepada syarikat Content Provider diharapkan akan ditarik balik. Tahukah anda kerajaan Indonesia telah menarikbalik lesen CP apabila terlalu banyak aduan dibuat oleh rakyat Indonesia. Kita mahu lesen terhadap CP ini juga ditarik balik...tak guna SKMM hanya denda RM50 ribu atau gantung satu shortcode....hari nie mereka bayar denda esok mereka buat lagi. Apa bezanya satu shortcode digantung sedangkan mereka ada berbelas lagi shortcode yang diluluskan oleh SKMM.

2. Jika anda tidak sedar yang CP telah mengenakan caj kepada anda selama berbulan-bulan lama sehingga menjadikan ia beratus-ratus ringgit sedangkan anda tidak pernah langgan atau tidak pernah terima sms yang didakwa dilanggan oleh anda.

a)  Cetak borang 1 di sini untuk masukkan kes anda ke Tribunal Tuntutan Pengguna


b) Call telco anda, dapatkan no shortcode  cth 33316 dan nama syarikat serta nombor telefon untuk dihubungi.

c) Buat carian SSM atau di internet untuk dapatkan nombor pendaftaran syarikat dan alamat terbaru syarikat.

d) Isi borang 1, buat pernyataan tuntutan atas kertas A4 (anda boleh taip)

contoh pernyataan tuntutan

Pada 02/04/2014, saya telah mendapati bil telefon bulan March 2014 yang bertarikh 21/03/2014 terdapat caj sebanyak RM48 untuk perkhidmatan Value Added Servis yang saya tidak pernah bersetuju untuk melanggan dan saya juga tidak pernah menerima sms/mms atas perkhidmatan yang kononya saya langgan. Saya menghubungi Digi pada jam 2.35 petang dan dimaklumkan bahawa perkhidmatan tersebut dicaj oleh syarikat XYZ. Saya menuntut caj tersebut dikembalikan. Jumlah tuntutan saya RMxxx. Rujuk lampiran untuk perincian bil-bil untuk bulan semasa dan bulan-bulan terdahulu.

e) Buat 4 salinan pernyataan tuntutan, bil-bil telefon anda, jika anda simpan sms/mms....boleh print sekali. Borang 1 juga buat 4 salinan. Susun kemas dan cari alamat KPDNK yang terdekat dengan anda yang menguruskan Tribunal Tuntutan Pengguna

f) Serahkan Borang 1 yang lengkap tadi berserta bayaran RM5. Tempoh perbicaraan ditetapkan sebulan dari tarikh penghantaran borang 1 (lebih atau kurang). 2 salinan borang yang telah lengkap dengan cop dikembalikan kepada anda.

g) Serahkan by hand atau buat surat berdaftar kepada alamat CP tersebut. Pastikan anda simpan slip surat berdaftar dan jika buat serahan tangan, Borang 1 salinan anda di cop terima dan terdapat nama serta IC penerima.

h) Dalam 30 minit anda akan terima panggilan telefon daripada pekerja syarikat CP tersebut. Beliau memaklumkan bahawa syarikat bersetuju untuk memulangkan caj tersebut.

i) Keesokkan harinya anda akan terima satu lagi panggilan dari pekerja tersebut, anda diberitahu bahawa bayaran telah disediakan semalam tetapi bayaran hanya akan release dalam masa 3 atau 4 minggu. Anda diminta supaya menarik balik tindakan ke mahkamah Tribunal tersebut. Jangan terpedaya.....celaka nie penipu. Beritahu mereka dengan tegas....saya hanya akan tarik balik tindakan ke tribunal selepas saya lihat bayaran masuk kedalam akaun saya....pastikan bayaran dibuat sebelum tarikh perbicaraan. Celaka nie akan mintak anda isi borang jika ingin menuntut bayaran. See.....teknik mereka, mula2 kata bayaran telah dibuat lepas tu kata akan buat bayaran dalam 4 minggu lepas tu suruh kita isi borang pulak. Ingat anda bukan pengemis.....nak isi2 borang bagai....anda hanya hendak tuntut balik duit anda yang dirompak oleh mereka.

j) Buat satu salinan Borang 1 yang telah dicop terima dan buat surat aduan.....tolonglah hantar kepada SKMM.


Kenapa saya perlu bawa kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna sedangkan saya boleh call syarikat CP dan minta dipulangkan caj tersebut?. Kenapa nak susah-susah

1. Dengan buat tuntutan melalui Tribunal, hak anda terjaga. Nama syarikat mereka telah ada dalam rekod Tribunal. Mereka tidak berani bermain tarik tali dengan anda. Anda lebih berani berhadapan dengan syarikat celaka nie sebab anda tahu ada tribunal dibelakang anda. Anda belum tahu mereka benar-benar buat bayaran seperti yang dijanjikan......mungkin kawan anda dapat bayaran tapi belum tentu anda. Anda harus ada backup....belajar pertahankan hak anda...belajar jadi kurang ajar.

2. Untuk kukuhkan aduan anda di SKMM. Aduan anda, aduan pengguna-penguna lain....biar satu lepas tu beribu dan puluhan ribu aduan diterima oleh pegawai SKMM. Jangan terlalu soal banyak dan tanya samaada SKMM akan ambil tindakan atau tidak....anda laksanakan sahaja tugas anda untuk dapatkan hak anda. Ingat...'usaha' tidak pernah akan mengecewakan anda.


Saya tulis berdasarkan apa yang lalui beberapa hari lepas...ambik cuti setengah hari pergi ke KPDNK dan kemudian pergi ke syarikat CP untuk serahan Borang 1. Saya hanya disambut oleh cleaner untie india tua yang asyik tanya "ini apa?". Mahu apa?. Saya suruh dia serahkan borang tu kepada staff...dia syik tanya "nak buat apa?. Panggil staf datang sini...saya naikkan suara. Beberapa pekerja cina lalu depan kami dengan hidung tinggi seolah-olah kami nie datang nak mintak derma...langsung tak tanya tujuan kedatangan kami....harapkan cleaner yang asyik tanya ' apa nie.....apa nie....apa nie".

Cleaner masuk dalam ofis dan hampir 15 minit barulah keluar bersama seorang pekerja melayu. Saya hanya senyum....kalau yang jadi tukang 'cuci tahi' nie mesti melayu. Pekerja melayu tu datang dan tanya saya "ini apa?". "tak tahu baca ke?" saya jawap. Saya suruh dia turunkan tandatangan, tulis nama dan cop syarikat atas salinan Borang 1 kepunyaan saya dan serahkan Borang 1 kepunyaan syarikat. Saya beritahu jumpa pada tarikh nie dipejabat Tribunal.

Sebelum keluar, saya pandang papan tanda syarikat tu....anda silap buat hal dengan saya. Dalam minggu ini sehari suntuk saya berada dimeja menyiapkan fail merah jambu berpalang. Saya  kasihan kepada pengguna yang mengadu nasib 'dirompak' oleh syarikat CP nie di forum Lowyatt.....di blog, di laman web getstatifaction Celcom yang kononnya perihatin. Rakan sekerja saya berkata " mereka pilih silap orang" apabila melihat saya begitu tekun menyiapkan laporan untuk dimasukkan dalam fail merah jambu, mungkin ini hidayah disebaliknya....atleast bila kena batang hidung sendiri saya tergerakhati untuk menolong orang lain.
=====================================================
Update terkini. 18/06/2014....saya telah tunaikan janji saya kepada mangsa-mangsa sedut duit sms scam. Kepada yang terlibat...anda tahu siapa saya?. Selamat berkenalan.
========================================================================

Untuk anda yang ingin ambil tindakan terhadap syarikat CP, ini ada sedikit maklumat untuk anda

IKOGO Sdn Bhd
No Pendaftaran 636324-T
Alamat : B-6-5 Strauss Tower Mont Kiara Sophia, Jalan Kiara 1 Mont Kiara, 50480 Kuala Lumpur


iSentric Sdn Bhd
No Pendaftaran : 183309-K
Alamat : No 3, Jalan 51A/227, Seksyen 51A, 46100 Petaling Jaya
Tel: 03 78751000/037875 1134 Fax: 03-7874 2908


Mexcomm Sdn Bhd
No Pendaftaran 777810-D
Suite 20.04-20.05, 20th Wisma MCA, 163 Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur
Tel: 1300223228/03-21633208/03-2163 3228
Fax: 03-2163 2998


Everworks Solutions (M) Sdn Bhd
No Pendaftaran syarikat: 704528-K
Alamat: G-1-28, Jalan PJU 1/45 Aman Suria Damansara 47301 Petaling Jaya

 ( contoh sms diatas adalah dari shortcode 33316 adalah milik Everworks)

Ini adalah beberapa syarikat yang kerap menghantar sms spam dan mengenakan caj atas bil anda walaupun anda tidak pernah langgan. Kalau anda perlukan nama lain, beritahu shortcode ( nombor 5 angka), saya akan beritahu nama syarikat CP tersebut.

Thursday, April 3, 2014

Bagaimana hendak block no phone telemarketer dan scammers

Ini satu lagi info yang ingin saya kongsikan kepada anda. Bagaimana hendak mengetahui nombor panggilan yang masuk adalah spammer atau scammer atau telemarketing yang begitu annoying yang tidak tahu nak stop bila bercakap atau anda rakyat malaysia yang baik hati yang tak tahu bagaimana nak kurang ajar. Ini satu cara bagaimana anda mengelakkan mereka semua

Anda pergi ke blog ini. Blogger ini aktif mengupdate nombor-nombor telefon yang disenaraikan sebagai scammer atau penipu-penipu.

http://christopherteh.com/blog/2011/10/telemarketer/

Dah masuk ke blog christopherteh, anda copy paste nombor2 telefon tersebut kedalam Microsoft office Excel komputer anda






Nombor telephone tersebut bersambung dengan huruf so susah anda nak massukkan dalam contact no anda. Jangan bimbang tak perlu taip satu-satu....ada 1000 lebih nombor kat situ, takan nak taip satu-satu.

Letakkan cursor kat ruangan atas sekali cth kolom K baris 1. Tekan Fx



Anda akan nampak paparan ini, kat select a category tekan All dan cari perkataan LEFT. Tekan OK


Lepas tu ia akan keluar paparan ini, dekat text bawa cursor ke ruangan paling atas bahagian kiri sekali iaitu di kolum A1. Kat ruang Num_Chars tekan 5 sebab no phone yang kita nak ambik tu ada 5 huruf iaitu 22001. Lepas tu tekan OK

Untuk memudahkan anda, letakkan cursor kat ruangan 22001 dan bawa cursor ke bahagian bucu kanan dan pastikan cursor anda akan berbentuk + dan tarik kebawah sampai ke nombor phone 5 angka tamat. Semua nombor sudah disalin serentak.


Untuk no phone dibaris ke 7, tukarkan Num_Chars ke nombor 12 sebab ada 12 ruang dalam nombor phone tersebut termasuk tanda (-).

letakkan cursor dibucu bawah kanan sehingga berbentuk + dan tarik turun ke bawah sekali sehingga habis. Ia akan salin semua sekali secara automatik tanpa anda perlu ulang satu-satu.



Bila anda sudah dapat semua nombor-nombor telefon tersebut, copy dan paste ke sheet baru. Buat 3 kolum. Kolum pertama isi nombor, kolum ke dua tulislah nama yang ingin anda letak pada nombor tersebut seperti scammers1 atau jangan angkat1...suka hati anda. Kolum ketiga barulah nombor telefon.


ada lebih kurang 1200 nombor phone. ini saya copy pada tarikh 1 april 2014. Mungkin ada tambahan lagi. Cara senang nak buat numbering secara automatik taip number 1 dan kemudian letakkan cursor dibucu bawah kanan dan tarik sehingga ke bawah. Secara automatik nombor akan dimasukkan ikut urutan. begitu juga dengan perkataan scammers...taip scammer 01 dan letakkan cursor dibucu bawah sebelah kanan sehingga muncul + baru tarik hingga kebawah sekali. Secara automatik scammers 01 akan bernombor sehingga scammers 1233 atau lebih.

Ini adalah salah satu fungsi excel yang anda kena explore. Seronok belajar guna excel. Bagi orang yang bekerja dengan angka...excel adalah permainan mereka. terdapat beratus-ratus fungsi yang boleh dibuat.


Sekarang SAVE. Tulis file name anda cth Block Phone No kemudian dibahagian Save as type, pilih CSV(comma delimited)(CSV).

Bukak google mail anda. Di akaun email google anda klik Gmail, dan pilih Contact. Pilih Import Contacs


Tekan Choose File dan pilih file anda tadi Block Phone No. csv.  Kemudian tekan Import




Ok...semua nombor telah di import ke bahagian contacts. Tutup gmail anda.

Sekarang tengok smartphone anda......Saya guna Samsung GalaxyNote2




Dibahagian contact, semua nombor tersebut telah keluar di handphone. Nombor-nombor 5 angka nie terus set kan sebagai reject list. Kalau no hp kita boleh ignore sahaja. Kalau nak lebih senang lagi nombor-nombor handphone ini boleh letakkan vibration supaya dia tidak menganggu anda. Bahagian Call rejection hanya muat untuk 100 nombor sahaja jadi pilih yang paling menganggu sahaja..keutamaan adalah pada nombor 5 angka.

Dalam senarai nombor telefon tu ada nombor 66688 dari Astro. Yang nie janganlah block sbb nanti tak tahu pulak pengesahan bayaran astro anda kalau pakai online banking.

Anda hendak semak selama ini berapa banyak nombor dari telemarketing atau penipu menelefon anda. Cuba lihat kat Phone bahagian Logs. Dalam hp saya ada puluhan nombor dalam list scammers yang telah menelefon saya tapi kebanyakannya saya tak angkat sbb saya takan angkat nombor yang saya tak kenal. Tapi bahaya jugak manalah tahu kalau2 nombor phone penting juga saya tak angkat.

Kepada yang hendak mencuba, harap anda ada sikit basic tentang Excel. Selamat mencuba

Perhatian kepada pelanggan post paid Digi, Maxis atau Celcom

Saya ingin berkongsi maklumat dengan anda yang melanggan perkhidmatan postpaid dengan telco seperti Digi, Celcom dan Maxis. 

Bagi pelanggan post paid, untuk mengelakkan caj RM3 dikenakan atas bil maka kita memilih online bil. Saya pelanggan lama Digi, saya guna Digi hampir 12 tahun dan tiap2 bulan saya terima rebat sebanyak RM15 bagi pakej internet RM58. Ok nampak jimatkan....bila dah ada kemudahan internet, wasap dll, saya amat jarang buat panggilan telefon atas sms....kalau nak buat panggilan, saya guna telefon TM dan menghubungi mak yang juga guna TM so jimat dari segi bil.

Tiap2 bulan saya buat bayaran secara tetap ke akaun DIGI untuk amaun RM58. Tiba-tiba akhir bulan lepas Digi hantar peringatan yang tunggakan bil saya sudah melebihi had kredit. Saya pelik....tiap2 bulan payment dibuat secara tetap mengunakan Maybank2U, bagaimana ada tunggakan.

Inilah jawapannya.......







Saya mempunyai tunggakan melebihi RM300. Saya tidak pernah menghantar atau menerima apa-apa perkhidmatan daripada nombor 32338.

Bila terima sms dari nombor-nombor 5 angka, saya akan terus delete tanpa membuka sms untuk membaca. Sangkakan bila saya mengabaikan sms tersebut saya terselamat tetapi inilah musibah yang saya terima akibat mengabaikan sms mereka. Mereka caj terus dalam akaun bila kita tidak taip STOP ALL.

Saya call DIGI, jawapan standard yang diberikan 'pihak kami tidak bertanggungjawap atas caj tersebut, puan boleh buat tuntutan kembali duit puan kepada syarikat tersebut" "untuk berhenti menerima SMS dari kod singkat 3 siri, puan kena taip STOP ALL dan hantar ke 32338

Bila kita taip STOP ALL maka caj 0.15 dikenakan. SALAH KITA KE SEBAGAI PENGGUNA?


inilah jawapan yang saya terima bila taip STOP ALL ke nombor 32338. Saya tidak subscribed service tetapi kenapa saya dicaj oleh mereka.

Saya tidak akan berhenti disini, Saya akan buat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna sebagai seorang pengguna. Kepada syarikat (saya dah kenalpasti syarikat haram jadah nie) dan 3 pengarah syarikat haram jadah yang berbangsa cina tu.....saya akan pastikan anda terima padahnya.

Kepada DIGI...kesetiaan saya kepada perkhidmatan anda sampai saat ini sahaja. Celcom dan Maxis pun sama sahaja....hai kesian jadi rakyat Malaysia....kena 'rompak' tak kira masa.

Kepada rakan-rakan sekelian...sila masukkan no 32338 dalam phone anda dan kemudian pergi kepada setting dan di call setting setkan kepada Call Rejection atau tambahkan terus kepada reject list. 

Sunday, December 8, 2013

Jigsaw Puzzle

 Menyusun jigsaw puzzle atau photo mosaics adalah hobi masa saya remaja dahulu. Satu kepuasan apabila dapat menyiapkan photo mosaics. Bila sudah bekerja, hobi nie semakin dilupakan. 

Baru-baru nie semasa singgah di Daiso, terpandang jigsaw puzzle 300pcs Roses Basket. Adakah saya mampu menyiapkan foto nie dalam tempoh masa yang singkat seperti waktu remaja dulu?. Saya ingin cabar keupayaan diri sendiri. Lama sungguh saya tidak menyusun jigsaw puzzle. 

Saya mula menyusun pagi tadi bermula dari jam 8 pagi. Selepas selesai sidai baju, vakum dan mop lantai....saya mula duduk dimeja study.


Akhirnya sehingga jam 12 tengahhari saya berjaya menyiapkan 96% Roses Basket. Satu kepuasan.


Photo mosaics yang telah siap. Bukan mudah hendak menyusun 300 pcs jigsaw puzzle nie...perlu ada strategi. Mula-mula saya asingkan bahagian tepi foto, jigsaw yang bergaris lurus dan ketepikan bahagian lain. Jigsaw bahagian tepi nie pula saya bahagikan kepada 2 iaitu part mendatar dan part menegak. Susun satu-satu sehingga sempurna bingkai tepi foto lepas tu saya ketepikan pula bahagian kosong (tidak berwarna) dan susun sehingga penuh bahagian tepi menghala ketengah foto. 


Jigsaw puzzle yang telah siap saya bingkaikan dengan frame putih. Cantikkan......ia sangat berharga kerana ia adalah hasil tangan sendiri.

Kos foto mosaics nie adalah sebanyak :-

300 pcs photo mosaics  RM5
Frame berbingkai putih (Ikea) RM29.90
Kesabaran-tidak boleh diletakkan nilai

Dengan kos sebanyak RM35 saya gantungkan foto mosaics nie dibilik bacaan.

Saturday, November 30, 2013

Murtabak Sri Lily

Kawan saya yang balik ke Kelantan baru-baru ini telah membelikan 2 biji murtabak berinti ayam dan daging untuk saya serta rakan-rakan dipejabat. Yang saya goreng semula ini adalah murtabak ayam. Murtabak sejukbeku ini berharga RM16 seketul. Agak besar dan jika dibahagi 4, satu bahagian (1/4) tersebut adalah sebesar murtabak yang dijual dipasar malam.


Intinya tebal dan rasanya sangat sedap. Murtabak ini sangat sedap dan berbaloi dengan harga tersebut. Tak rasa ralat membeli.


Jika anda ke Kota Bharu, Kelantan...anda boleh singgah ke tempat ini untuk membeli murtabak ini untuk dibawa balik. Ada 4 jenis inti iaitu ayam, keju, Daging dan Sardin. Bagi pendapat peribadi saya murtabak berinti daging paling sedap.

Sri Lily Enterprise
Lot A-2, Kompleks Kilang SME, Bank
Kota Bharu 1, Jalan Padang Tembak
16100 Kota Bharu, Kelantan
014-5239825

Alamat dan no hp nie sebagaimana yang tertulis di kotak murtabak. So jika andda ke Kota Bharu, jangan lupa beli bawa balik ke KL. Sokong industri SME kita. Saya tulis supaya alamat dan no tel tersebut tidak hilang dalam simpanan dan boleh dikongsi bersama anda. 

Thursday, July 19, 2012

Pertukaran nama domain



Makluman kepada pengunjung blog saya yang satu lagi iaitu blog Semangkuk Soup dan Secawan Kopi, nama domain blog saya telah ditukar dari koleksi-infosihat.blogspot.com kepada http://diaribdaria.blogspot.com.

Ini adalah paparan yang akan keluar jika anda masuk ke blog diatas dengan alamat domain lama. Blog tersebut masih aktif. Saya tukar nama domain dari koleksi-infosihat kepada diaribdaria supaya ia tidak mengelirukan. Pada awal dahulu memang saya berniat untuk kumpulan semua info berkaitan dengan makanan sihat dan perkembangan diet tetapi apabila saya berhenti berdiet....blog tersebut tiada entri terbaru. Untuk tidak mematikan blog itu saya masukkan entri-entri berkaitan dengan ulasan dan recap drama dan filem yang saya tonton. Bila difikirkan balik....nama domain blog itu sudah tidak sesuai lagi dengan imej baru blog itu.

Thursday, March 8, 2012

Bayar bil guna pos online

Apartmen saya nie adalah projek PKNS, so bayaran bil penyelengaraan dan singking fund selalunya saya bayar kat pejabat pengurusan apartmen selalunya pada hari sabtu tetapi bermula awal tahun nie, pejabat pengurusan buat peraturan baru....bayaran hanya boleh dibuat pada hari khamis dari jam 10 pagi sehingga 12 tengahhari sahaja. Dia ingat dalam dunia nie hanya mereka sahaja yang berkerja dan orang lain tak bekerja. Buat peraturan baru ikut sedap diri sendiri sahaja (mentaliti PKNS yang tak fikirkan pelanggan). Bila PKNS decide untuk buat projek perumahan sepatutnya mentaliti bahawa mereka adalah jabatan kerajaan patut dibuang....mereka patut ikut cara swasta....pelanggan perlu diutamakan.

Saya komplain kat kerani pejabat pengurusan....kenapa buat peraturan macam tu....semua orang bekerja, siapa yang hendak datang bayar hari khamis pagi. Dia jawap kat 'itu saya tak boleh tolonglah....owner kena fikir sendiri". Jawapan yang telah dijangkakan. So saya pun tak bayarlah bayaran bil penyelengaraan tersebut sebab saya datang hari sabtu.

Isnin lepas saya dapat surat merah jambu dari PKNS, dengan amaran tindakan pemotongan bekalan air akan dibuat jika tidak buat bayaran. So saya tengok duit dekat tangan.....saya nak bayar kat mana?.....bukan senang nak keluar time ofis.

So saya tunjukkan kepada anda cara buat bayaran PKNS atau apa-apa bayaran bil anda melalui www.posonline.com.my

1. Daftar dahulu dengan tekan button 'Register Now"
2. Bila pendaftaran berjaya anda boleh masukkan nama dan password dekat login dan enter 'login'


3. Anda akan nampak nama anda tertera kat situ.
4. Tekan bill registration


 5. Anda akan nampak perkataan bill registration
 6. Dibahagian company, pilihlah syarikat-syarikat yang anda hendak buat bayaran. Click perbadanan kemajuan Negeri Selangor untuk bayar bil PKNS.
7. Tekan 'next' bila sudah pilih untuk isi maklumat yang lain iaitu no akaun dan no bil pembayaran.


8. Siap sahaja isi maklumat kat bill registration, keluar dan tekan open payment
9. Pilih bil yang hendak dibayar
10. kemudian tekan next dan ikut isi maklumat yang dikehendaki seperti amaun bil semasa, tarikh bil, bayaran bil tertunggak (isi jika ada).
11. Pilih cara bayaran, samaada guna kredit kad atau akaun bank. Ini adalah bank-bank yang boleh digunakan jika anda ada akaun internet banking dengan bank ini.
  • Public bank
  • Bank Islam
  • RHB Bank
  • Affin Bank
  • CIMB bank
  • Hong Leong bank
  • Al Rajhi bank
  • EON bank
  • Alliance Bank
  • Master Card
  • Visa Card
Selalunya saya bayar semua bil-bil saya guna Maybank.2u tetapi disebabkan untuk bayaran bil PKNS hanya satu bank sahaja yang boleh diboleh buat bayaran iaiatu CIMB Bank maka terpaksalah saya guna posonline sebab saya ada akaun Bank Islam.

Saja saya nak kongsi info nie terutama kepada anda yang kena berurusan dengan PKNS.

Wednesday, November 30, 2011

Benarkah....barang di kedai bebas cukai airport lebih murah

Dalam minggu sebelum saya ke Kuching....saya dah kehabisan minyak wangi. Saya tidak akan keluar rumah jika tak sembur minyak wangi so memang bila dah habis tu terasa tak sedap hati. Masa tengok minyak wangi tinggal sikit....berharap sangat ia dapat tahan sehingga time krismas sebab masa nie minyak wangi ada 'sale'.

Ramai yang kata minyak wangi kat kedai bebas cukai airport murah....kedai yang kita lalu bila turun kapal terbang sebelum ke kaunter check out....bukan kedai yang berada di luar tu. Betul ke dakwaan mereka tu???????

Lepas sahaja tiba kat airport Klia, saya singgah ke kedai minyak wangi dan dah tentu saya hanya tuju kepada minyak wangi yang saya selalu guna iaitu J'adore, CD. Sebotol J'adore 100ml diatas tu berharga RM410, travelling botol RM100, dan body lotion RM189.

Bila masuk kerja seorang staff kat pejabat kata dia ada beli minyak wangi kat airport dan kemudian bila dia pergi ke Metrojaya....minyak wangi jenama yang dibeli tu harganya lebih murah kat metrojaya. Saya dah mula rasa tak sedap hati.

Semalam lepas sahaja selesai urusan kat pejabat Pos, saya terus ke kaunter CD di Metrojaya. Tanya harga J'adore 100ml, jurujual tu kata sebotol tu berharga RM415 dan jika saya beli sebotol 100ml tu dia akan bagi beberapa mini gift. Mujur beza harga RM5 sahaja tapi itu harga sebelum 'sale'.....yang pasti harga tersebut akan lebih rendah lagi jika 'sale' masa krismas nanti. saya suka beli minyak wangi kat kaunter sebab saya akan mintak banyak free gift....kadang-kadang saya akan dapat botol mini 15ml minyak wangi, 15ml lotion badan, 15ml body shampoo.....terasa rugi beli kat kedai bebas cukai tu.

Jadi tidak benarlah dakwaan bahawa harga minyak wangi kat kedai bebas cukai airport lebih murah. Kalau harga tak banyak beza....apa gunanya perkataan 'bebas cukai tu'. (Note....kenyataan saya nie berdasarkan survey untuk J'adore sahaja....so jangan serang saya pulak kalau anda tak bersetuju).

Untuk makluman anda peminat minyak wangi......1hb-2hb Disember iaitu esok dan lusa akan ada warehouse sale branded fragrances & Cosmetics. Saya tak pergi kot kali nie sebab dah habis beratus-ratus beli J'adore set tu.


Thursday, October 27, 2011

Sedikit info untuk beli ubi kayu

Saya ada terima komen dari salah seorang pengunjung blog ini yang bernama Chan iaitu:-  

"hi cik bdaria, saya memang suka makan kuih yg diperbuat drpd ubi kayu, tapi problem sebab setiap kali beli ubi kayu selalu kena tipu, ada apa2 petua utk beli ubi kayu? Thks, Chan"

Sebenarnya saya tak tahu nak jawap......saya bukan orang yang layak untuk bagi petua sebab:
  1. Saya tak pernah beli ubi kayu sendiri....yang ini kawan yang tolong belikan.
  2. Saya anak orang kampung, sekitar kawasan rumah penuh dengan pokok-pokok ubi kayu. Kalau nak makan, mak saya hanya cabut sahaja....so saya selalu dapat bekalan yang fresh kat kampung.

Bila saya fikir balik.....saya juga akan seperti Chan bila nak beli ubi kayu sendiri bila berada dikawasan yang mana susah nak dapatkan ubi kayu fresh terutama bagi orang-orang yang tak ada halaman belakang rumah nak tanam ubi kayu. Kalau pergi pasar tani atau pasar borong untuk beli ubi, kita selalu 'percayakan' penjual dan kita selalu kata "tolong pilihkan yang elok-elok dan baru ye". Jika anda peniaga.....adakah anda akan jual yang baru sampai kepada pelanggan yang anda nampak memang tak tahu apa-apa?. Peniaga akan gunapakai konsep FIFO (First In First Out), dia akan jual yang lama kepada anda supaya yang baru boleh disimpan lebih lama. Jadi bagaimana nak pilih yang elok kan?. So Chan, saya juga akan berada dalam dilema seperti anda jika nak beli sendiri ubi kayu kat bandar nie.

Oleh kerana saya ada seketul setengah lagi baki ubi kayu kat rumah maka saya cuba kongsikan sedikit info berdasarkan pemerhatian saya
Jangan pilih ubi kayu yang berkulit hampir licin seperti kat atas tu. Ubi kayu yang baru, kulitnya lebih mengerutu dan 'sisik-sisik' tu nampak lebih tebal. Kulit ubi kayu kat atas tu dah sudah lama sebab tu ia nampak licin sebab 'sisik-sisik' tu dah hilang. (harap fahamlah saya guna perkataan 'sisik' kat kulit ubi kayu nie wp saya sendiri rasa tak sesuai)

Ubi kayu yang berwarna kuning tidak sesuai jika anda buat ubi rebus makan dengan kelapa. Ubi yang kuning nie hanya sesuai untuk buat kuih. Jika anda nak buat ubi rebus kena guna ubi fresh....ubi yang kulit dalamnya berwarna merah jambu dan isinya putih. Jika anda guna ubi putih untuk buat kuih talam...gantikan gula pasir dengan gula merah. Kalau guna ubi kuning, masukkan sedikit pewarna kuning telur supaya warnanya kuih nampak lebih menarik.

 Jika pilih ubi kayu pastikan tiada kesan seperti ini dan kesan berlubang atau kesan 'luka'. Jika nampak ubi tu ada kesan macam nie, itu menunjukkan bahawa ubi itu dah masuk angin. Walaupun ianya masih boleh dibuat kuih tapi rasa kuih anda akan terjejas.

Inilah yang dinamakan ubi yang sudah masuk angin. Kalau mak saya nampak ubi macam nie dia akan lempar bagi ayam makan tapi kita kat bandar nie....kena jugaklah buat kuih sebab kita dah keluarkan duit untuk beli.

So itulah serba sedikit info yang saya tahu.....nak kata petua....rasanya bukan petua. Saya harap Chan berpuashati dengan penerangan ini.

Wednesday, August 24, 2011

Sedikit tip untuk dikongsi

Ada sedikit tips yang saya perolehi semasa memasuki kelas membuat biskut. Jadi saya nak kongsilah dengan anda semua. tak banyak.....ini sahaja yang sempat saya tulis semasa mengikuti kelas membuat biskut.


1) Semua kekacang haruslah dibakar/disangai terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam adunan. Ini termasuklah serbuk badam sekali pun (kekacang jugak kan)

2) Oats dan nestum kena bakar/sangai jugak sebelum dimasukkan kedalam adunan.

3) Resepi yang tidak bersalut coklat boleh guna butter mahal. Resepi biskut yang bersalut coklat seperti almond london boleh mengunakan butter murah sikit seperti buttercup atau lain-lain jenama yang murah.

4) Farmcow sesuai digunakan untuk membuat kek lapis

5) Gula ising digunakan dalam biskut adalah untuk mengebukan biskut seperti biskut mazola

6) Gula castor untuk meranggupkan biskut

7) Crisco atau shortening adalah untuk meranggupkan biskut

8) Doh jangan dicanai terus, ia perlu direhatkan terlebih dahulu iaitu selama 15 minit.

9) Tepung kentang ada dijual di kedai bakery. harga 500gm tepung kentang adalah RM4.80. Jika tiada anda boleh gantikan dengan tepung jagung. tapi rasa lain sikitlah. Buat apa nak beli banyak kalau hanya nak guna 40gm sahaja.

10) Dalam resepi ada yang guna hanya telur kuning sahaja, jika anda sayang nak buang telur putih atau tiada keperluan untuk digunakan telur putih maka anda boleh masukkan keseluruhan telur dalam bancuhan tapi tambahkan sedikit tepung jika doh lembik.

11) Jika biskut yang dicanai dan mengunakan acuan maka canai doh setebal 1/2 inci untuk mendapatkan biskut yang cantik.

12) Sapuan kuning telur diatas biskut = kuning telur + sedikit putih telur + pewarna kuning



13) Pastikan measuring spoons atau sudu penyukat ini ada didapur anda. Ia cara yang paling mudah bagi memastikan anda mendapat saiz biskut yang sama besar dan cantik. Ambil sedikit doh guna sudu penyukat samada sudu penyukat 1 tsp atau 1/2 tsp bagi mendapatkan saiz yang sama terutama untuk biskut almond london.


Itulah serba sedikit tips yang sempat saya salin semasa kelas.

Friday, August 19, 2011

Kongsi info

Waktu rehat tengahhari tadi saya ke Bank Islam Kota Damasara untuk keluarkan duit dan tukar duit raya. Oleh kerana saya menghala ke arah sana, ofismate pesan barang-barang untuk dibeli kat Bagus Bakery. Saya nak kongsi dengan anda berkaitan dengan perbezaan harga yang sangat ketara untuk item nie

Badam slice nie berharga RM15.50 untuk 500gm. hari selasa lepas saya pergi ke Bake With yen dan beli almond slice nie hanya berharga RM11 untuk 500gm. Beza hampir RM4.50 tuuuuuu. Tu yang terkejut sangat....kalau setakat 50-90 sen tu boleh dimaafkanlah sebab kalau nak pergi BWY kena bayar tol pergi balik RM3.20. Ini satu item sahaja dah beza RM4.50, belum lagi item-item lain.....mak aiii kalau sapa yang shopping sinilah beli barang-barang biskut....duit yang beza tu anda boleh dapat balang kuih yang besar tu 5-6 bijik.
Nie badam yang saya beli kat BWY, ini 250gm sebab saya bahagi 2 dengan kawan. Kat BWY, 500gm badam slice berharga RM11.00 tapi 250gm berharga RM5.80 so jimat 60 sen kalau beli banyak sebab tu saya kongsi dengan kawan.




Satu lagi info nak kongsi, kawan saya wawo beritahu bahawa harga Pengukus Trio kat Yummie Bangi adalah RM189. Ofismate saya pula beritahu saya semalam bahawa steamer trio nie tengah offer kat Jaya Jusco dengan harga RM179 sahaja. So sesiapa yang bercadang nak dapatkan Steamer Trio bolehlah cari kat Jaya Jusco (my fren pergi JJ IOI,Puchong). Oh ye offer nie hanya sampai bulan Ogos nie aje kat JJ. Masa saya beli dahulu harganya RM220.....harga dah turun sekarang nie.


Monday, August 8, 2011

Cara mengunakan pengukus trio

Entry nie saya tulis apabila ada seorang rakan kepada rakan saya bertanya tentang bagaimana hendak mengunakan pengukus trio. beliau sudah lama beli tapi belum pernah mengunakan pengukus ini lagi. Jadi entry ini khas untuk dia dan juga kepada pembaca yang berminat. Saya hanya berkongsi info dan tiada mendapat apa-apa manfaat daripada syarikat pengeluar produk ini.

1) Tuang air kedalam bekas pengukus
2) Tutup dengan penutup badan pengukus


3) Anda boleh semak takat air pada badan pengukus....jadi disini anda boleh tahu apabila air sudah berkurangan

4) Letakkan tray pengukus

5) Letakkan bahan makanan yang hendak dikukus dan tutup dengan penutup kukus


6) Setkan masa kukusan anda. Untuk ikan kukus, tempoh masa kukusan adalah 20 minit maka saya setkan kepada 20 minit. lampu merah akan menyala menunjukkan kukus trio anda berfungsi dengan baik. Lampu merah terpadam sekali sekala apabila pengukus terlalu panas. Jadi tak perlu panik kerana ia perkara biasa. Akan tetapi jika lampu merah ini berhenti terlalu lama dan berlaku terlalu kerap....lebih baik anda rujuk semula dengan tempat yang anda beli.



7) apabila tempoh masa kukusan tamat, ia akan berbunyi dan lampu akan terpadam dan ia akan berhenti sendiri.

Kepada rakan yang bertanya....diharapkan anda berpuas hati dengan penerangan ringkas ini. Cara kendaliannya tidak rumit, amat mudah dan rugi jika anda tidak mencuba sedangkan anda dah beli.