Sunday, March 28, 2010

Murtabak Macaroni

Murtabak makaroni dibuat pada petang tadi. Ada lebihan doh roti canai yang saya simpan untuk dibuat murtabak makaroni. Oleh kerana hanya tinggal 6 biji doh roti canai yang seberat 50gm setiap satu, maka saya buat 1/4 daripada bahan-bahan resepi dibawah. Bahan-bahan resepi ini untuk 1kg tepung gandum, jika anda buat 1/2 kg maka bahagikan 1/2 bahan2 ini. Murtabak nie sedap, tak rugi anda cuba. Saya tidak suka cuka so saya tak buat onion pickles tapi saya masukkan juga resepi onion pickles untuk anda.









MURTABAK MACARONI
Sumber: kelas masakan BWY


BAHAN-BAHANNYA:-

Bahan A

100ml minyak - untuk menumis

1 pkt rempah 4 beradik (bunga lawang, cengkih, kulit kayu manis & buah pelaga)

10gm cili kisar

1 inci halia - dimesin

20gm bawang putih - dimesin

70gm bawang merah - dimesin

10 helai daun kari

40gm serbuk kari ayam/daging + kurma +100ml air = cairkan

Bahan B

300gm isi ayam (dihiris kecil)

500gm mix vegetable (saya hanya guna karot yg dipotong dadu)

150gm bawang besar - dipotong dadu

100ml air - untuk dicampur jika filling pekat

2 tangkai daun sup

sedikit garam, gula


Bahan C

200gm macaroni - direbus hingga masak

10 biji telur


Bahan D

Doh roti canai secukupnya (seberat lebih kurang 50gm setiap satu)


CARA-CARANYA:-


  1. Tumis bahan A sehingga naik bau dan wangi


  2. Masukkan bahan B kecuali daun sup dan perasa. Masak sehingga semua bahan masak dan jika pekat masukkan sedikit air. jangan sampai terlalu berair sangat.

  3. Masukkan daun sup dan bahan perasa, masak hingga pekat.

  4. Sejukkan dahulu.

  5. Apabila telah sejuk, masukkan macaroni dan masukkan telur yang telah dipukul sedikit.
  6. Alas pasment paper dalam loyang. Masukkan adunan kedalam loyang (untuk adunan ini guna loyang 10 x 10 x 2)
  7. Bakar didalam oven selama 1/2 jam 180C (ini sbb adunan ini tebal, kalau mcm saya buat 1/4 drp bhn2 diatas, saya bakar dalam 15 minit saja @ sehingga telur keras. jgn keras sangat, x sedap)


  8. Apabila masak, potong dan letakkan diatas kulit roti canai.

  9. Jangan lebar sangat dibukak doh roti canai mcm gambar nie, nanti tebal belah atas dan nipis kat bawahnya. Biar muat2 dengan filling je.


  10. Goreng sehingga masak (goreng dengan minyak yang sedikit sahaja mcm roti canai jugak)

  11. Hidangkan dengan onion pickles atau kari

ONION PICKLES

Bahan-bahannya:-

1 biji bawang besar dipotong slices

1 tsp cuka

garam dan gula secukupnya

sedikit pewarna merah

Cara-caranya:-

  1. Campurkan semua bahan sekaligus dan perap seketika

Jus Mangga

Sekarang musim mangga, selepas pulang dari gym pagi tadi saya singgah di Bintang dan beli mangga water lily. Semasa di bandung, saya sempat melihat bagaimana jus strawbery dibuat. So oleh kerana hanya ada mangga maka saya cuba buat Jus Mangga sebagaimana jus strawbery dibuat dikedai itu.


Jus mangga nie memang sedap, betul2 pure isi mangga, pekat dan jika anda tidak suka jus yang terlalu pekat, anda boleh tambah air sedikit. Saya tidak letak gula sbb saya tidak suka minuman manis so anda boleh tambah gula jika anda suka.


Jus mangga



Bahan-bahannya:-



Sebiji mangga manis

250ml susu segar (saya guna HL milk)

4-5 ketul air batu



Cara-caranya:-


  1. Kupas kulit mangga, dan hiris isi mangga masukkan dalam blendar

  2. Masukkan susu segar dan ketulan air batu

  3. Blend sehingga hancur

  4. tambah air jika anda tidak suka ia terlalu pekat

  5. Hidangkan.

Saturday, March 27, 2010

Roti Canai

Ini sarapan yang saya buat pagi ini. Dohnya saya buat malam tadi dan diperap semalaman. Pagi tadi saya mula membuat roti canai. Oleh kerana saya tak pandai menebar doh roti canai maka saya buat ikut cara mak saya....tebar atas talam bulat. Ia tidaklah secantik roti canai kat kedai tetapi mengunakan resepi nie roti canai garing, rangup dan lembut. Semasa membuat roti canai, saya kurangkan penggunaan minyak. Sebenarnya pengunaan minyak yang banyak sangat perlu untuk membuat roti canai yang macam kedai sebab itulah roti canai adalah salah satu makanan yang mengandungi kolestrol yang tinggi. Bila kita buat sendiri, kita boleh mengawal penggunaan minyak....biarlah ia tidak secantik roti canai kedai tetapi ia tetap sedap dan lembut. inilah resepinya jika anda ingin mencuba.




ROTI CANAI
Sumber: Kelas masakan BWY

BAHAN-BAHANNYA:-

Bahan A

1 kg tepung gandum (saya guna key flour)

50gm minyak sapi


Bahan B

60gm susu pekat

1 biji telur

100ml air 7 up

1 tsp garam

1 tsp gula

450-500ml air


CARA-CARANYA:-

  1. Masukkan bahan A kedalam bekas adunan

  2. Pukul bahan B kecuali air dan kemudian satukan bahan A. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan sebati. Jangan masuk air terus sebab nanti adunan lembik dan susah hendak menguli. Kalau pengunaan air kurang 500gm pun tak mengapa.

  3. Uli hingga lembut. Uli sehingga adunan elastik. Jika anda menguli dengan tangan uli 2 kali. Uli sehingga adunan tidak melekat ditangan dan kemudian rehatkkan selama 10 minit lepas itu uli sekali lagi sehingga betul2 lembut. Perapkan 30 minit.

  4. Bulat-bulatkan adunan seberat 50 gm @ 60gm. Lumur dengan majerin (saya guna butter sahaja)


  5. Perapkan selama 4 jam atau biarkan semalaman.

  6. Selepas itu tebarkan.

  7. Jika tidak pandai tebar macam pembuat roti canai kat kedai, gunalah talam bulat. leperkan adunan dan kemudian tarik perlahan2 sehingga ke hujung talam bulat. Buat sehingga jadi bulatan besar, lipat 4 bahagian.

  8. Bakar mengunakan kuali dan masukkan minyak/ butter/majerin ketika membakar.

  9. Oleh kerana saya mengurangkan penggunaan minyak maka saya guna kuali non stick.
  10. Resepi ini menghasilkan 36 biji doh roti canai. Saya hanya buat 1/2 dari bahan2 diatas.

Saya makan roti canai ini dengan kari daging. Saya sertakan juga resepi untuk anda membuat kuah dall.

Kuah Dhal sayuran


Bahan A


500gm kacang dhal - direbus sehingga sempuk


Bahan B

10 biji cili kering - dipotong 3

5 biji cili merah - dipotong stick

5 biji cili hijau - dipotong stick

3 biji kentang - dipotong kiub

2 biji terung

1/2 biji carrot

5 urat kacang panjang

5 ulas bawang putih - dimayang

5 ulas bawang merah - dimayang

1/2 tsp biji sawi

daun kari secukupnya (lebih kurang 10 helai)

50ml minyak secukupnya

sedikit kunyit, garam dan gula secukup rasa

air secukupnya


Cara-caranya:-
  1. Rebus kacang dhal sehingga empuk

  2. Panaskan minyak dan tumiskan daun kari dan bawang

  3. Masukkan cili kering dan tumis sehingga garing kemudian masukkan semua sayur-sayuran tu.
  4. Masukkan cili dan biji sawi

  5. Angkat dan masukkan bahan yang ditumis kedalam periuk kacang dhall.

  6. masukkan air dan letakkan garam, gula dan sedikit kunyit.

Nota:

Jika hendak membuat kuah dhall kuning, guna resepi diatas tapi jangan masukkan sayur-sayuran.

Ayam panggang kunyit

Hidangan simple yang saya buat sebagai bekalan hari khamis minggu lepas. oleh kerana saya pulang kerumah jam 8.30 malam dan tiada masa untuk prepare hidangan yang canggih2 so hidangan simple begini yang selalu saya buat. Saya akan beli beberapa ketul dada ayam, basuh bersih dan dibubuh garam dan kunyit secukupnya. Masukkan dalam plastik penyimpan dan simpan dalam peti. Esok pagi hanya panggang sementara kita bersiap hendak pergi kerja. kan senang. Tak sampai 30 minit saya telah siapkan bekalan makan tengahhari....saya makan dengan roti wholemeal dan salad.


Dada ayam yang telah dikelar dimasukkan bawang putih dan letakkan sedikit butter diatasnya.



Ia tidak nampak garing tapi ia sangat juicy


Ayam panggang kunyit

Bahan-bahannya:-

1 ketul dada ayam- dibersihkan dan dikelar sedikit

sedikit garam

sedikit kunyit

3 ketul bawang putih- diketuk

sedikit butter



Cara-caranya:-


  • Keluarkan ayam yang telah diletakkan garam dan kunyit

  • Ketuk bawang putih dan letakkan bawang dicelah kelaran yang telah dibuat

  • Letakkan sedikt butter diatasnya

  • Panggang dalam oven selama 25 minit sahaja dengan kepanasan oven 200 c

  • Setelah masak, angkat

  • Ia mungkin nampak tidak garing tapi isi ayam telah masak dan juicy

  • Potong isi ayam memanjang dan letakkan diatas roti sandwish.

Note:-

Saya memasukkan ayam panggang yang telah dihiris tadi kedalam bekas tahan panas dan apabila tengahari saya baru letakkan atas sandwish bersama salad. So saya makan sandwish yang masih panas.

Bubur nasi

Ini adalah bekalan saya hari Selasa, baru hendak masukkan entri hari ini. Resepi simple yang sering saya buat.






Bubur Nasi Simple



1/2 cawan beras, basuh bersih

1/2 inci halia

1 tsp lada hitam-ditumbuk halus

3 ulas bawang merah-dimayang halus

200gm udang segar

2 batang sawi-dipotong

1 batang karot-dipotong dadu

1/2 ketul kuib ayam (jika suka)

sedikit ikan bilis yang ditumpuk halus (tidak perlu jika guna kuib)

sedikit garam

Air secukupnya

Cara-caranya:-

  1. Masukkan beras dan air dalam periuk dan jerangkan sehingga beras kembang.
  2. Buang air rebusan dan toskan. Masukkan air sejuk dalam nasi dan toskan sekali lagi.
  3. Masukkan nasi dalam periuk dan bubuh air secukupnya.
  4. Masukkan lada hitam dan halia, rebus lagi sehingga nasi benar2 kembang.
  5. Masukkan bawang merah, ikan bilis/ kuib ayam dan garam. Tambah air jika nasi kelihatan pekat.
  6. Masukkan karot, biarkan sebentar kemudian masukkan udang dan akhir sekali masukkan sawi.
  7. ia boleh dimakan bersama lada kicap.

Berat badan saya dah naik

Berpindah ke bangunan baru, tempat makan yang baru membuatkan saya malas hendak turun untuk makan tengahhari. Sejak seminggu lepas saya lebih selesa membawa bekalan sendiri tambahan pula sekarang saya cuba untuk mengurangkan berat badan. Gambar yang diambil semasa di Bandung memberikan 'signal' bahawa saya menghadapi masalah besar. Seluar dah ketat sehingga saya terpaksa membeli seluar baru. Kebaya nie saya buat dalam tahun 2007 tapi sekarang nak masuk kebadan pun dah tak muat. Sekarang saya gantung di depan pintu bilik supaya saya sentiasa sedar apa yang telah saya buat keatas diri saya.




Akhir tahun 2006, saya telah membayar RM2,625 untuk 25 sesi khidmat personal trainer di gym. Penat lelah saya selama 4 bulan, saya berjaya turunkan 10kg. Dalam tahun 2008, saya 'rosakkan' semua ini apabila saya berkursus 4 bulan di hotel. Berat badan saya mula naik sedikit demi sedikit tanpa saya sedar. Selepas melihat gambar saya di Bandung dan saya baru tersedar yang berat badan saya telah naik lebih 10 kg. Kini berat badan saya melebihi berat badan sebelum saya mengambil personal trainer.


Lokasi bangunan baru yang terletak hampir dengan gym, membolehkan saya singgah pada setiap petang selepas waktu pejabat. Akibat terlalu menekan diri sejak seminggu lalu saya mengalami kecerderaan lutut. Semalam bekas personal trainer saya memerhati saya ketika saya berada di kelas Body Step dimana saya asyik memegang lutut sebab lutut saya terlalu sakit tapi saya memaksa diri meneruskan excersice sehingga kelas tamat. keluar dari kelas, dia datang dekat dengan saya dan meminta supaya saya balik dan meletakkan ais di lutut. Jika tidak saya tidak boleh berlatih selama sebulan jika dibiarkan.

Memang mujarab petua tu, saya beli air batu dan masukkan dalam tower dan letakkan disekitar lutut yang sakit. Pagi nie saya berehat dan tidak ke gym supaya lutut saya sembuh kembali.

Wednesday, March 24, 2010

Apam Beras

Ini adalah percubaan kedua mengunakan resepi dari kelas masakan di BWY. Sebagaimana yang saya telah note kan dalam resepi sebelum ini. Setelah mengadjust serba sedikit, apam beras ini jadi sebagaimana yang dibuat oleh emak saya....percubaan kedua ini berjaya. Apam mengunakan resepi yang telah diadjust sedikit ini menjadi lebih gebu, tidak padat, sangat lembut dan yang penting sedap tanpa rasa ragi yang berlebihan. Memang puas hati. Saya frozenkan supaya boleh dibawa ke ofis esok. Adunan ini boleh menghasilkan lebih 66 biji apam.
Ini adalah kukusan bahagian terakhir yang mana ia telah terperap selama 3 jam, so ia merekah dengan cantik. Jadi untuk dapatkan apam merekah begini, guna resepi dibawah tetapi perap selama 3-4 jam.

Kukusan pertama selepas 1 1/2 jam perap, wp ia tidak begitu merekah tetapi ia sangat lembut dan gebu.

Tekstur apam gebu dan lembut



Apam Beras

Bahan-bahannya:

A) Tapai Nasi

250gm nasi yang telah dimasak dan disejukkan

1/2 tsp ragi - dihancurkan

2 tsp gula

1 tsp air


Cara-caranya:-

  1. Gaul semua bahan hingga sebati, masukkan kedalam bekas kedap udara dan bertutup. Perapkan ditempat yang gelap selama 48 jam.


B) Bahan Apam

1 paket tepung beras (500gm) - Saya guna cap teratai

270gm tapai nasi

3 cawan air

1 1/2 cawan gula caster (1 cawan gula pasir)

1 tsp yis

2 tsp Eno (2 paket Eno Biru)


Cara-caranya:-

  1. Masukkan tapai nasi, gula dan 1 cawan air dalam pengisar. Kisar
  2. Masukkan tepung dalam bekas dan tuang tapai yang dikisar serta baki 2 cawan air, gaul sebati.
  3. Anda boleh kukus setelah adunan diperap lebih sejam tetapi jika anda hendak ia naik cantik, peraplah selama 3-4 jam.
  4. Oleh kerana pengukus saya kecil dan saya hanya ada 20 cawan kecil, saya telah bahagikan adunan kepada 4 bahagian.
  5. Untuk kukusan bahagian pertama, masukkan 1/2 tsp Eno @ 1/2 bungkus Eno. Anda boleh memasukkan pewarna yang anda gemari. Saya guna sirap ros Amina.
  6. Masukkan penuh acuan dan kukus mengunakan api kuat selama 15 minit.
  7. Setelah habis bahagian pertama, ambil bahagian kedua dan bubuh 1/2 tsp Eno lagi dan kukus sehingga habis. Begitu seterusnya sehingga habis adunan.
  8. Boleh dimakan bersama kelapa.
  9. Saya suka makan begitu sahaja tanpa kelapa dan saya akan frozenkan untuk dibawa ke ofis esok.

Nota:-

Saya sukat mengunakan cawan sukatan ye.

Sunday, March 21, 2010

Pindah Pejabat

Esok secara rasminya kami semua akan berada dibangunan baru. Setelah seminggu proses perpindahan, esok kami mula mengeluarkan barang/dokumen dari kotak dan menyusun kembali ke rak.

Ini bilik saya dipejabat lama. Gambar diambil setelah semua barang2 diangkat keluar. Pada 2/3/2004 saya telah memilih bilik ini diantara 25 bilik yang ada. Saya adalah salah seorang dari 3 pegawai terawal mendaftar diri di jabatan baru yang berusia 2 hari ketika itu. Kami bertiga berpusing2 mencari bilik yang 'disukai' dari 25 pilihan bilik yang ada. Kedua2 pegawai lelaki mengambil bilik yang mengadap padang bola dan saya mengambil bilik yang mengadap sebuah kondominium. Masa 'honeymoon' saya dah habis, kalau sebelum nie jam 7.05 baru keluar rumah dan tiba dipejabat jam 7.20 pagi. Rumah yang disewa dekat betul dengan pejabat dan jalanpun tidak sesak. Esok saya kenalah keluar rumah jam 6.45 pagi, itupun belum tentu saya akan sampai kepejabat tepat jam 7.30 pagi.

Inilah bilik pejabat saya di bangunan baru. 50% dinding bilik saya adalah kaca. Dinding bangunan ini adalah terdiri dari sliding door. Saya tidak perlu pasang lampu sbb bilik saya sentiasa terang. Saya bernasib baik sebab bilik ini mengadap matahari pagi so tak lah teruk sangat.....bilik rakan sepejabat saya jadi macam "sauna" bila petang sbb cahaya matahari petang. Konsep barulah kononnya.....rasanya disini tempat paling strategik untuk orang nak bunuh diri. Ada seorang ahli bomba yang buat part time untuk mover yang pindahkan barang kami menyatakan bahawa bangunan ini begitu bahaya dan beliau pelik bagaimana developer nie boleh dapat CF.....kalau dia pelik kami lagilahhhhhhh pelik...QUESTION?. syyyyyyyyyyyy.....simpan jawapannya dalam hati anda.


Sorry sbb tunjukkan tandas dalam blog masakan nie. tak senonoh betullah saya nie. Jangan bimbang tandas nie tak pernah digunakan lagi dan mungkin tak akan digunakan kecuali bila berlaku 'kecemasan' lah ye. Rasa tak sanggup nak menjalankan 'urusan' disini. Tahniah buat arkitek yang merekabentuk pejabat nie.....lulusan universiti manalah tu ye!.

Tengoklah tandas nie. Dinding tandas nie adalah tingkap 'nako' putih jernih yang hasilkerjanya bertaraf 'kampung' sbb langsung tak kemas. Bersebelahan dengan tingkap 'nako' ini terdapat tangga. Staff lelaki yang merokok akan lepak disini.....sanggup tak nak 'berurusan' disini. Tapi kalau sembelit, ini tempat paling strategik sbb bau boleh dikeluarkan dengan serta merta hehehe.

Donat 1


Saya suka buat donat. Pelbagai resepi donat telah saya cuba (sebelum blog saya nie ada) dan ada satu resepi yang paling disukai yg diambil dari internet tetapi resepi tersebut telah hilang. So saya surf cari resepi donat yang mengunakan kentang. Saya ambil resepi nie dari blog mamafami. Setelah mencuba resepi Donat Lela, ternyata ia bukanlah resepi yang saya cari. walaubagaimanapun donat nie lembut dan gebu.



Donat Lela

Sumber: dari mamafami blogspot


Bahan-bahannya


2 biji kentang - direbus dan dilenyek

3/4 cawan susu suam @ susu pekat + air

2 biji telur kuning

4 tbsp gula

500gm tepung gandum

1 tbsp yis

3 tbsp majerin (saya guna butter)

Sedikit garam

Cara-caranya

  1. Masukkan kentang lenyek, susu suam, telur, garam dan gula didalam mesin penguli.
  2. Masukkan tepung dan taburkan yis
  3. Putar pada kelajuan rendah sehingga tepung sebati dengan bahan lain dan kuatkan kelajuan dan putar sehingga 10-15 minit.
  4. Jika anda menguli mengunakan tangan, uli sehingga adunan tidak melekat pada tangan.
  5. Leperkan dan terap mengunakan acuan donat @ kalau tak ada anda boleh gula gelas plastik yg kecil dan penutup tudung botol.
  6. Sukatan resepi ini boleh menghasilkan lebih 30 biji donat.
  7. Biarkan donat anda naik sekali ganda (lebih kurang 45 minit @ lebih)
  8. panaskan minyak dengan api sederhana dan goreng sehingga kekuningan. Angkat dan toskan dengan kertas tisu supaya minyak yang berlebihan diserap.
  9. Jika anda hendak simpan sebagai frozen donat, goreng jangan sampai kuning, biarkan putih @ goreng sekejap dan terus angkat.
  10. Taburkan gula yang telah dimesin. Saya masukkan gula dalam plastik dan goncang tapi cara ini akan memyebabkan gula terlalu banyak pada donat.

Wednesday, March 17, 2010

Apam Beras

Yang nie dikukus dalam loyang.

Saya guna pati ros Amina. Wangi bau pati ros tersebut menjadikan apam nie lagi sedap



Saya pernah memasukkan entry berkaitan dengan resepi apam beras yang diperolehi dari kelas masakan yang pernah saya ikuti. Saya tidak pernah mencuba lagi resepi tersebut sehinggalah semalam saya cuba membuat Apam Beras mengunakan resepi yang diperolehi dari kelas tersebut. Resepi adalah seperti dibawah:-



APAM BERAS
Sumber: Kelas masakan BWY

BAHAN-BAHANNYA

Bahan Tapai Nasi

250gm nasi – yang dimasak dan disejukkan
1 tsp ragi – dihancurkan (
Kurangkan ragi kepada 1/2 tsp sahaja)
2 tsp gula
1 ½ tsp air

Cara-caranya

1. Gaul semua bahan hingga sebati, masukkan kedalam bekas kedap udara dan tutup dengan kain bersih dan perap selama 48 jam (2 malam)

Bahan Apam

1 paket tepung beras (500gm) guna CAP GAJAH TUNGGAL
270gm tapai nasi
3 cawan air
2 cawan gula caster (
Kurangkan gula caster kepada 1 1/2 cawan, gula pasir = 1 cawan)
1 tsp yis (
Masukkan yis wp anda perap lebih 6 jam)
2 tsp ENO (
1 tsp Eno = 1 bungkus Eno. Guna Eno yang paket biru)


Nota: Jika guna yis, perap selama sejam tapi jika tidak guna yis maka kenalah perap selama 6 jam. (Abaikan nota ini )

CARA-CARANYA


  1. Kisar tapai dengan 1 cawan air (lebih mudah jika gula di masukkan sekali)
  2. Satukan tepung dan gula
  3. Masukkan tapai kisar dan baki 2 cawan air, gaul sebati
  4. Masukkan dalam bekas yang bertutup.
  5. Perap selama 6 jam, semasa hendak kukus baru masukkan ENO
  6. Masukkan penuh acuan dan kukus dengan api yang kuat selama 15 minit (acuan seelok2nya disapukan minyak terlebih dahulu) (Acuan tidak perlu disapukan minyak kerana ia akan menyebabkan apam naik tidak sama rata)
  7. Jika pengukus anda kecil bahagikan adunan kepada 2 dan masukkan 1 tsp ENO setiap satu.

Catatan:-
  1. Jam 5.30 pagi tadi saya bangun untuk mengukus Apam. Apabila saya membuka bekas perapan saya lihat bancuhan tidak begitu berbuih dan naik berganda dari bancuhan asal. Ini berlainan dengan apa yang mak saya buat.
  2. Resepi nie OK dan menjadi....tidak rugi kalau mencuba. Apam sedap, lembut dan gebu tapi saya sudah terbiasa makan yang mak saya buat maka saya rasa ada kekurangan pada resepi ini.
  3. Pagi tadi saya terus telefon emak dan memberitahu yang saya cuba buat apam beras tapi tak selembut yang mak buat. Apam yang mak saya buat sangat lembut dan gebu. Apam jugak tidak merekah.
  4. Oleh itu secara kesimpulannya resepi diatas memang ok cuma yis tetap harus dimasukkan wp perap selama 6 jam. Itu pesan mak saya.
  5. Gula Castor harus dikurangkan kepada 1 1/2 cawan. kalau guna pasir guna sukatan 1 cawan sahaja.
  6. Sebungkus eno bersamaan dengan 1 tsp so dalam resepi nie kena guna 2 bungkus Eno. saya cuma guna 1 bungkus sbb tu kurang menjadi.
  7. Eno yang digunakan adalah eno paket biru.
  8. Acuan jangan disapu minyak sbb akan menyebabkan adunan naik tidak rata @ senget sebelah.

Tuesday, March 16, 2010

Tapai Pulut


Dah lama teringin nak makan tapai pulut. Masa saya kecil dulu mak saya membuat tapai pulut untuk berniaga dan saya selalunya akan membantu dia membungkus tapai. Bila mak saya dah tak berniaga lagi kami dah jarang dapat makan pelbagai jenis kuih muih dan tapai.


Sekarang kalau teringin nak makan apa-apa kenalah buat sendiri. Saya akan call mak saya dan tanya resepi. Biasalah tu masa mak buat dulu bukan nak tengok sangat......sekarang barulah nak tanya. Adik2 sayapun macam tu sampai mak saya buat joke....kalau dia dah tak ada kami akan hilang buku resepi.


Mujur di pasar malam SS8 Kelana Jaya ada satu gerai sayur2an kampung ada menjual ragi. saya beli 2 ketul ragi nie dengan harga RM0.60 seketul. Kebetulan hujung minggu lepas saya balik kekampung jadi saya ambillah 2 pelepah daun pisang tapi malangnya saya terlupa nak bawak balik ke KL. Frust betul....hilang impian nak makan tapai daun pisang. Pergi BWY, cari bekas kecil tapi hanya ada yang besar sahaja. Ambil jugaklah sebab malas nak gi cari kat BWY Puchong. Bila time nak buat tapai, saya pulak 'period' so tergendala lagi....akhirnya sabtu lepas barulah boleh buat.


Mak saya ada beberapa pantang bila buat tapai. Pertama, dia tak akan bungkus tapai jika dia "period" so sayalah yang akan bungkus semua 5 kg pulut. beliau tidak mahu tapainya menjadi bertompok merah dan nampak berlendir. Kedua, kalau masa proses menabur ragi dan membungkus dia akan tutup semua tingkap dan pintu rumah sebab risau jiran sebelah rumah(yang sorang tu je) akan datang bertandang. Orang yang mengamalkan ilmu hitam akan menyebabkan tapai menjadi tawar dan berhampas. mak saya pernah membuang 2 kg tapai pulut hanya kerana ketika dia membungkus, jiran saya(dia adalah bomoh) datang bertandang dan mak saya tak sempat sorok. Rumah kampung lain sikit, jiran (yang perempuan le) kalau datang akan terus ke masuk ke dapur.

ok inilah resepi yang diberikan oleh mak saya.

Tapai Pulut


Bahan-bahannya:-


500gm beras pulut
450ml air

1/4 ragi-dihancurkan menjadi serbuk.


Cara-caranya:-

Basuh beras pulut dan toskan. Masukkan dalam periuk nasi dan masukkan air dan tanak sehingga masak.

Apabila pulut telah masak, keluarkan dan letakkan diatas dulang. sejukkan. Biar betul-betul sejuk jika tak nanti tapai anda akan jadi merah.

Apabila pulut telah sejuk, ambil separuh dari ragi tersebut dan tabur rata. Setelah itu balikkan pulut tersebut dan kemudian tabur baki ragi.


Bungkus pulut dengan daun pisang atau masukkan dalam bekas.


Perapkan selama 24jam @ sehingga tapai anda berair dan manis .



Apabila sudah manis barulah anda boleh masukkan tapai dalam peti sejuk.





Sunday, March 14, 2010

Talam Suji

Resepi talam suji yang diminta oleh Mas. Resepi nie kami tak buat semasa dalam kelas. Boleh tahan sedap talam suji nie. Manis pun ok tapi kalau anda guna gula pasir, kurangkan sukatan sedikit.

Talam nie masih panas lagi ketika saya potong so nampak tak cantik.


Talam Suji
Sumber: Kelas talam Chef Asma



LAPISAN BAWAH

Bahan-bahannya:

Bahan (A)

180gm tepung suji @ semolina

450gm air

Bahan (B)

220gm gula castor

2 biji telur

200ml santan (saya guna santan kotak M & S)

250ml air

pewarna kuning

Cara-caranya:-
  1. Rendam bahan-bahan A selama 30 minit. rendam dalam periuk.

  2. Satukan semua bahan-bahan B dalam bekas, kacau rata dan tapis masukkan dalam periuk yang mengandungi bahan A.

  3. Kacau atas api yang sederhana dengan senduk kayu. Kacau biar keras sedikit (adunan akan nampak seperti terangkat sedikit dari periuk)

  4. Guna loyang 10 x 10 x 2 @ 3. sapukan sedikit minyak dan lapik plastik diatas loyang supaya senang untuk mengeluarkan kuih talam. Kukus selama 25 minit.

LAPISAN ATAS

Bahan-bahannya:

Bahan (A)

300gm gula merah

50gm gula castor

500ml air


Bahan (B)

150gm tepung gandum

3 biji telur

250ml santan (saya guna santan kotal M & S)

1/2 tsp garam

Cara-caranya:-

  1. Rendam bahan-bahan A sekejap untuk hancurkan gula atau anda boleh masak sehingga gula merah hancur dan sejukkan.

  2. Satukan semua bahan-bahan B, kacau sehingga rata

  3. Masukkan bahan B kedalam bahan A dan tapis.

  4. Kacau atas api yang sederhana dengan senduk kayu. jangan pekat dan jangan cair sangat. Tutup api dan guna pemukul telur untuk ratakan adunan.

  5. Tuang keatas lapisan bawah dan kukus selama 30 minit.


Friday, March 12, 2010

Spaghetti Goreng



Ini adalah hidangan makan malam saya untuk hari ini. Hidangan simple yang boleh disediakan dalam tempoh masa 30 minit sahaja. Resepi ini diperolehi dari kawan saya Noriah Mainuri.


Spagetti Goreng



(dalam gambar nie saya terlupa masukkan lada bengala merah dan hijau)



Bahan-bahannya (untuk hidangan 1 orang):-


60gm spaghetti

1 @ 2 sosej Ayamas Premium Italian (dibelah 4 dan dipotong dadu)/ayam/daging

1/4 lada bengala/capsicum merah - dipotong dadu kecil @ besar ikut suka

1/4 lada bengala/capsicum hijau - dipotong dadu kecil @ besar ikut suka

1/2 biji bawang besar (putih)- dipotong dadu kecil @ besar ikut suka

1/2 tbsp Oregano/basil

Sedikit minyak untuk menumis

Bahan Tumisan

1/2 tbsp lada hitam **

1 @ 2 biji cili padi **

2 ulas bawang putih**

Sedikit garam **

(bahan ** dikisar halus)

40-50ml air

Cara-caranya:-

  1. Rebus spaghetti didalam periuk yang telah dimasukkan sedikit garan dan minyak. Rebus sehingga empok atau ikut masa seperti ditetapkan dalam paket. Toskan.
  2. Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak dan tumis bahan yang telah di kisar tadi sehingga kekuningan sahaja jangan sampai bawang putih jadi coklat.
  3. Masukkan ayam/daging/sosej (Kalau guna ayam/daging, masukkan daun basil bersama untuk memberi rasa tapi jika guna sosej italian tak perlu sebab ia telah berperasa). Masukkan sedikit air supaya spagetti tidak terlalu kering.
  4. Masukkan bawang besar, kacau sehingga layu
  5. Masukkan spagetti dan kacau rata
  6. Masukkan lada benggala, biarkan sebentar. Taburkan oregano dan tutup api

Nota:-

  • Oregano ini saya beli dari Bake with Yen dengan harga RM1.50 untuk 20gm. Harga ini lebih murah berbanding dengan oregano dalam botol.
  • Anda boleh gantikan ayam/daging dengan seafood. anda juga boleh masukkan cendawan yang dipotong halus untuk menambah rasa.

The Biggest Loser Asia


Selasa 09/03/2010 jam 10.15 malam saya dan my housemate menunggu depan TV untuk melihat finale The Biggest Loser Asia.

Inilah resultnya. David dari Indonesia telah memenangi The Biggest Loser Asia musim pertama. Inilah gambar David dahulu dan sekarang. Dahulu David mempunyai berat badan 157kg telah 'berjaya' menurunkan berat sebanyak 83kg dalam tempoh masa 5 bulan dan berat sekarang adalah 74kg.

Inilah perubahan David, Pemenang The Biggest Loser Asia


Apa pendapat anda jika lihat David sekarang?. Komen my housemate bila David keluar ke pentas " David dah macam drug addict". Memalukan.....inilah hasil The Biggest Loser Asia....kurus macam rangka, macam orang kekurangan zat makanan, berlapar separuh mati dan kekurangan air hanya semata-mata untuk memenangi The Biggest Loser Asia. Ketika david berjalan ke kereta yang dimenangi, David melangkah dengan lemah dan lesu sekali....kesian sungguh bila tengok David malam tu. David nampak macam orang tua, lemah tidak bersemangat....tiada muscle yang nampak hasil dari excersice, kekurangan zat makanan dan air. Inilah mesej yang hendak disampaikan oleh produser dan penaja utama Fitness First " excersice separuh mata dan berlapar jika hendak kurus seperti David". Saya lebih suka melihat David ketika beliau gemuk nampak ceria, bersemangat dan hensom.
Carlos, pemenang kedua The Biggest Loser Asia.
Ini pula Carlos, pemenang tempat kedua. Lihat perubahan Carlos....inilah hasil yang bagus. Carlos menampakkan sifat positif akibat excersice dan perubahan tabiat pemakanan yang betul....inilah yang patut disampaikan oleh Fitness First sebagai penaja utama. Sihat dan Fit adalah tujuan utama bukan kurus macam rangka akibat berlapar dan excersice sehingga 8 jam sehari seperti yang dilakukan oleh David.
Semalam semasa dalam kelas Body Combat di Fitness First, instructor berkata "Anda semua menonton The Biggest loser Asia Finale....anda juga perlu berusaha keras seperti mereka". Saya tidak rasa itu bukan mesej yang disampaikan oleh TBLA tapi lebih kepada ' untuk kurus, anda perlu berlapar'.

Wednesday, March 3, 2010

Libur di Bandung 2010, Tangkuban Perahu

Kami menyewa kenderaan untuk membawa kami ke Tangkuban Perahu, ladang strawberi, Kampong Baru dan beberapa tempat lain yang terpaksa dibatalkan sbb berlakunya tanah runtuh maka kami habiskan perjalanan kami di FO disekitar Jalan Lembang dan Toko Tiga.



Pemandangan di Tangkuban baru, bekas kawah gunung berapi ini amat cantik tapi sayang…..kami tidak dapat menikmati keindahan tersebut dengan tenang sebab diganggu oleh penjaja jalanan. Sesampai saya disini, lebih kurang 6-8 orang penjaja akan mengkerumumi saya seorang. Kami berlima telah dikerumuni lebih dari 15 orang penjaja. Sebelum turun kenderaan, supir sempat berkata bahawa hari ini kakak-kakak semua akan jadi artis. Rupa2nya inilah yang dimaksudkan oleh pak supir. Saya rasa amat rimas dan menjengkelkan apabila setiap langkah saya diikuti oleh mereka.





Mereka tetap setia mengekori kami sehingga kehujung kawasan kawah........kemudian masih mengekori kami sehingga ke Van. Mulut mereka sentiasa merayu supaya kami membeli barang jajaan mereka.








Walaupun lenguh mulut beritahu bahawa kita tidak mahu dan tidak berminat tapi mereka tetap ikut kita. Dari pengalaman ada beberapa tips untuk anda bagi mengelakkan penjaja2 ini:-



  1. Jangan sesekali bertanya harga barangan dan cuba tawar menawar kerana anda tidak akan terlepas daripada mereka. Buat tak tahu sahaja….tapi sampai hati kah kita?. Mereka akan memilih perempuan sbb mudah dipujuk dan perempuan mudah simpati.


  2. Jangan sesekali membenarkan mereka mengambil gambar untuk anda wp mereka cuba menghulurkan bantuan dengan kata bahawa ia percuma tapi percayalah diakhir perjalanan anda terpaksa membayar ‘khidmat’ mereka dengan membeli barangan mereka.


  3. Jangan beramah mesra dengan mereka jika anda tiada langsung niat untuk membeli item2 yang dijual….tak perlu tanya berkaitan dengan sejarah Tengkuban Perahu…..bila dah mesra mereka akan melekat dengan anda macam magnet sehinggalah anda membeli barangan jualan mereka barulah mereka tinggalkan anda.


  4. Jika hati anda sekeras batu, abaikan nasihat diatas.


Mengapa anda tidak harus membeli barangan daripada penjaja ini:-



  1. Item2 jualan akan ditawarkan pada harga Rp450.000 @ RM167 tanpa kira apa jenis baranganpun. Harga key chain 10 pcs ini ditawarkan dengan RM167, tasbih inipun ditawarkan dengan harga yang sama….logik ke.





  1. Akibat tidak tahan dengan desakan mereka saya terpaksa juga membeli tasbih ini dengan harga Rp50.000 @ RM18.60 yang saya rasa tetap mahal itupun selepas penjaja ini ikut saya sehingga ke van dan sebab saya rasa terhutang budi kerana dia jadi 'camera man' untuk saya. Kawan saya membeli key chain ini(10pcs) dengan harga Rp100.000 @ RM37.20.Ketika di jalan Dago/Juanda, key chain yang sama dijual oleh penjaja jalanan dengan harga Rp100.000 untuk 20pcs + percuma lagi 5pcs. Sakit hati bila perkara ini berlaku.




Ini key chain yang dibeli di Tangkuban Perahu 10 keping Rp100.000. Terpaksa pujuk hati " tak pe key chain nie lebih cantik dengan tulisan penuh Tangkuban Perahu berbanding dengan key chain di Jalan Dago/Pasar Baru". Mujur lain sikit kalau tak memang frust dan sakit hati.



Yang ini kawan saya beli dari penjaja jalanan di Jalan Dago/Jalan Juanda. 25 keping rp100.000.

Saya terlepas peluang untuk membeli pasu dari kayu batik ini gara-gara cuba hendak melarikan diri dari 'paparazzi'. Satu keajaiban yang pertama kali kami lihat iaitu pokok yang bercorak batik, sempat ambil gambar ketika diawal perjalanan ke kawah.


Pengalaman kami di Tangkuban Perahu sekurang-kurangnya menyedarkan kami betapa seksanya hidup Britney Spears dihurungi oleh paparazzi setiap masa…..huhhhhh dahsyatnya perumpamaan.


Kalau anda tak pergi ke Tangkuban Perahu pun tak ralat kalau begini keadaan yang anda harus tempuhi. Sudahlah mahal kita kena sewa kenderaan untuk ke sana dengan jalan yang bengkang bengkok tapi sudahnya kita tidak dapat menikmati keindahan kawah ini dengan tenang…..serabut dengan penjaja ini yang memaksa kita membeli barangan jualan mereka.

Libur di Bandung 2010, Shopping

Part kedua dalam libur di Bandung adalah shopping. Sebelum bertolak ke Bandung, duit rupiah yang dibawa adalah dalam Rp4juta (RM1,488) dengan kadar tukaran Rp1000=RM0.372. Tapi duit RM tetap ada dalam dompet…manalah tahukan untuk kecemasan.

Hari pertama kami menaiki angkutan kota (Rp3,000 seorang) menuju ke Pasar Baru dari pasar Dago iaitu lebih kurang 5 minit dari homestay kami. Pelancongan kami ke Bandung lebih kepada “adventure travelling” sbb kami tidak mengunakan khidmat agen pelancongan. Sesampai di Pasar Baru yang baru sahaja hendak di buka dalam jam 9 pagi (pagi disini terasa amat panjang, waktu subuh lebih kurang jam 5 pagi dan selepas mandi dan sembahyang, sarapan….kami masih menpunyai masa terluang yang panjang sbb semua kedai beroperasi jam 9 pagi). Barangan yang patut anda beli disini adalah kain telekung sembahyang, kain sulaman, busana muslim. Ada beratus-ratus lot-lot kedai menunggu anda disetiap tingkat sehinggalah ketingkat 6. Pada awal ketibaan disini saya merasakan tiada apa yang menarik tetapi hanya rasa serabut dengan penjaja jalanan yang sentiasa mengelingi kita. Tapi bila kita betul-betul explore setiap lot kedai disetiap tingkat, banyak benda-benda menarik yang boleh kita temui selain kain telekung dan baju-baju kebaya sulam. Disini urusniaga berakhir jam 6 petang. So seharianpun anda belum tentu akan habis melawat lot kedai disetiap tingkat.

Kami menaiki angkutan kota untuk pulang ke homestay. Menaiki angkutan memberikan satu pengalaman menarik sepanjang perjalanan kami. Anda akan dapat melihat dengan jelas bagaimana seniman-seniman jalanan memetik gitar dan menyanyi di tangga angkutan bila jalan macet (kalah artis AF bila dengar mereka menyanyi yang kadang2 menyanyikan lagu ciptaan mereka sendiri). Ketika ini anda harus pastikan anda menyediakan banyak note Rp1.000 @RM0.372 dalam dompet untuk disedekahkan sedikit sbb mereka semua hanya hendak mencari sesuap nasi. Peminta-peminta sedekah dan penjual jalanan juga banyak tetapi jika anda tidak mahu memberi mereka tidak marah. Anda dapat melihat ragam pemandu disini…kalau diberi peluang saya tidak akan memandu disini. Tapi yang pasti anda tidak akan mendengar perkataan sumpah seranah yang keluar dari mulut mereka ….mereka tidak marah. Bunyi hon adalah perkara biasa disini….cuba buat kat Malaysia, silap2 haribulan anda akan ditunjuk penumbuk. Habis satu hari kami di Pasar Baru, itupun masih belum habis bershopping lagi.



Hari Kedua


Waktu pagi dan tengahhari kami habiskan di Tangkupan Perahu dan Kampung Baru, kami meminta supir membawa kami ke Factory Outlet (FO)yang menjual tas tangan. Kami dibawa ke satu FO (tak ingat nama) harga barang mahal tapi boleh tawar, tiada yang menarik maka kami ke Rumah Tas di No 30 Jalan Lembong, disini wp harga tas adalah tetap (tidak boleh tawar) tapi harganya adalah logik berbanding FO lain. Harga sekitar Rp260.00 sehingga Rp1.5 juta mengikut jenama dan kualiti Gred. Kami rekemenkan anda untuk terus beli tas tangan di sini kerana harganya boleh tahan juga wp di Pasar Baru anda boleh tawar lagi dengan harga yang lebih murah sedikit, itupun untuk orang yang mempunyai kemahiran tawar menawar yang hebat kalau anda tiada skill nie….beli kat sini saja sudahlah bukan banyak beza sangat. Kami dah semak harga dengan FO lain ternyata di Rumah Tas lebih murah brbanding dengan FO lain. Ada satu bag jenama Chloe di Rumah Tas harganya Rp260.000 tapi di FO lain, bag yang sama bentuk,design dan warna cuma logonya telah ditukar kepada jenama lebih terkenal telah dijual dengan harga Rp1.000.000, agak2 berapa yang anda boleh tawar untuk kurangkan harganya. Oleh itu memang nasib kita jika boleh dapat harga yang betul-betul berbaloi. Setakat nak beli satu atau dua, beli disini cukuplah....my officemate kata ada lagi satu tempat (tak ingat apa namanya) iaiatu kira-kira 2 jam perjalanan dari Bandung, barangan kulitnya lebih murah 1/2 harga dari FO di Bandung.



Habis bershopping di Rumah Tas, supir membawa kami ke butik anak kecil di jalan cimandiri untuk membeli pakaian kanak-kanak. Harga disini lebih mahal berbanding dengan FO Grande. Saya membeli 3 pasang pakaian new born baby dengan harga Rp100.000(RM37.20) tetapi di Grande pakaian yang sama (3 pasang) hanya berharga Rp70.000 (RM26). Selepas habis bershopping di Anak kecil kami dibawa oleh supir ke Toko Tiga untuk memilih jean, saya sempat sambar 2 helai Levi's.



Hari Ketiga


Hari ini kami menaiki angkutan kota menuju ke Jalan Dago dengan bayaran sebanyak Rp2500 (RM0.75). Sebenarnya jika kami hendak berjalan kaki dari pasar Dago pun boleh tapi oleh kerana disini pavement tepi jalannya tidak diurus baik oleh kerajaan tempatan sehingga ianya rosak dan slippery akibat berlumut. Apa yang kami perhatikan kemudahan asas amatlah minimum, jejantas untuk melintas jalannya begitu nyeri bila tengok.


Kami turun di GMC iaitu money changer yang terletak di sebelah Kartika Sari (Jika hendak berhenti sebut sahaja "kiri" sbb dalam angkutan tiada loceng dan jika anda sebut'stop' atau 'berhenti' supir buat tak tau ajelah). Jika ingin menukar wang di GMC kena datang awal iaitu dalam jam 8 pagi kerana kat sini ramai orang dan kena menunggu agak lama sebelum tiba turn tukar wang. Kadar tukaran pada hari ini adalah Rp 1000 = RM0.366. Kadar yang lebih rendah dari kadar tukaran di Malaysia. Oleh itu jika anda hendak ke Bandung, tukar sedikit dulu di M'sia dan tukar selebihnya di GMC....hanya di GMC sahaja tau sbb kat tempat lain tak dapat kadar nie.



















Gambar diatas adalah sebahagian dari FO yang terdapat disekitar jalan Dago. Satu FO anda akan ambil masa 1 jam so untuk menghabiskan lawatan kesemua FO di Jalan Dago nie akan memakan masa seharian. Setiap FO adalah berdekatan antara satu sama lain dan jika anda membawa anak atau suami, usah bimbang sbb ada tempat menunggu didepan FO untuk mereka habiskan masa.

Selepas selesai sahaja menukar wang, kami memulakan projek ' mengeledah' FO yang begitu banyak disekitar jalan Dago ini.





Jika anda ke FO Jalan Dago, jangan lupa singgah di Grande. Baju kanak-kanak perempuan amat cantik disini. Anda boleh mendapatkan gaun-gaun cantik jenama Burberry disini dengan harga sekitar Rp100.000.

Disini juga baju kanak-kanak amat murah berbanding dengan Anak Kecil atau FO lain. Banyak pilihan untuk pakaian kanak-kanak lelaki. Anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan jenama Guess dan jenama terkenal yang lain (sorrylah belum ada anak so tak tau sangat pasai baju budak2 lelaki nie.....tapi yang pasti saya memang borong sakan untuk anak2 saudara perempuan saya di Grande)





Apa yang pasti sepanjang 4 hari di sini, 2 kali ke Pasar Baru, 2 kali ke FO di Jalan Dago sbb bila balik ada saja yang masih nak dibeli. Kami tidak pergi ke tempat lain seperti Rumah Mode atau Heritage kerana di Jalan Dago dan Pasar baru sahaja dah tak larat nak 'jelajah'. Oh ye kat sini teksi agak mahal ye....mereka tidak guna meter, anda hanya akan bernasib baik kalau dapat tahan teksi 'bluebird' tapi agak jarang nampak. Tambang minima adalah Rp20.000. Pengangkutan angkutan kota menguasai 90% dari pengangkutan awam disini....merekalah yang sebenarnya menyebabkan bandar Bandung sesak teruk sbb mereka akan berhenti dan ambil penumpang sesuka hati.

Mungkin anda tidak akan percaya jika saya beritahu inilah kos saya selama 4 hari 5 malam di bandung (tidak termasuk kos yang habis untuk shopping) :

  • Tambang Airasia + bus ke LCCT pergi dan balik =RM154 seorang
  • van dan makan di Tangkuban Perahu dan Kg Daun= RM 66 seorang
  • Penginapan (Homestay) =RM112 (4 hari 5 malam-nie portion utk seorang)
  • Pengangkutan (angkutan kota) =RM 8 seorang
  • Van ke airport =RM8 (portion utk seorang)
  • Jumlah keseluruhan RM348

Walaubagaimanapun dengan kadar tukaran matawang kita yang semakin tinggi berbanding matawang rupiah kemungkinan harga di bandung tidak akan menjadi murah pada masa akan datang so harga diatas adalah berdasarkan kadar tukaran yang saya buat pada tarikh semasa. My friends pernah cerita bahawa ketika beliau ke Bandung dulu, beliau dapat membeli telekung yg cantik dengan harga RM20 sahaja....puaslah saya cari telekung RM20 yang cantik tapi hampa sbb yang berharga murah berkualiti rendah so masa tu baru terfikir bahawa semasa dia datang 8 tahun yg lepas kadar tukaran wang kita dalam sekitar Rp1000=RM0.220. Dah tentulah murah....

Oh ye saya ada beli telekung kain kapas jepun sulam penuh RM75 sepasang tapi kat KL dijual dengan harga RM250 sepasang so kalau beshopping tu belilah yang berkualiti sbb harganya tidaklah semahal KL, kalau yang kualiti murah kat KL pun banyak.